Pemimpin Umno Sabah bertegas ucapan Anifah tiada unsur perkauman


Jason Santos

Menteri Luar Anifah Aman didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman di hadapan lebih kurang 300 orang ketika berucap di majlis makan malam Tahun Baharu Cina anjuran kawasan Parlimen beliau, Kimanis, di sebuah hotel lima bintang di Kota Kinabalu pada 9 Februari lalu. – Gambar EPA, 23 Februari, 2018.

DUA lagi pemimpin Sabah tampil membela Menteri Luar Anifah Aman yang didakwa melancarkan serangan terhadap Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal awal bulan ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Tenom Raimie Unggie berkata mereka telah mendengar ucapan Anifah yang didakwa berbaur perkauman itu dan menafikan tuduhan tersebut.

“Setelah mendengar video asli ucapan Datuk Anifah di majlis makam malam Tahun Baru Cina di Hotel Meridien, Kota Kinabalu pada Februari 9hb, 2018 ternyata tiada sepatah perkataan perkauman langsung yang disebut.    

“Malah Datuk Anifah ada berkata tidak kira apa sekali kaum yang akan dipilih untuk memerintah Sabah, yang penting dia adalah Sabah tulen.

“Saya tidak lihat apa-apa elemen perkauman dalam istilah Sabah tulen. Yang jelas boleh difahami, konteks istilah Sabah tulen yang dimaksudkannya jelas merujuk kepada warganegara yang sah dan mereka yang asal usulnya dari Sabah,” Ronald berkata dalma satu kenyataan hari ini.

Anifah didakwa telah mengaitkan keturunan Shafie dengan pendatang asing tanpa izin dan Warisan, yang menurutnya cuba meneruskan legasi Sultan Sulu untuk menuntut Sabah.

Anifah didakwa mengeluarkan kenyataan itu di hadapan lebih kurang 300 orang ketika berucap di majlis makan malam Tahun Baharu Cina anjuran kawasan Parlimen beliau, Kimanis, di sebuah hotel lima bintang di Kota Kinabalu pada 9 Februari lalu. 

Pada 14 Februari, Setiausaha Warisan Loretto Padua Jr membuat laporan polis berhubung ucapan Anifah itu. 

Padua berkata Shafie sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Anifah.

Pada 20 Februari, setiausaha politik Anifah, Jihek Basanu membuat laporan polisterhadap Padua dan berkata setiausaha Warisan itu telah memutarbelit kenyataan Anifah. Manakala ahli veteran Umno, Abdul Jalil Abdul Ghani membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden Warisan Peter Anthony yang didakwa membuat ucapan berbaur perkauman terhadap Anifah di Matunggong pada 14 Februari.

Semalam, ketua pembangkang, Lajim Ukin turut memberitah Shafie supaya menghentikan perdebatan perkauman dengan pemimpin Umno Sabah.

Kiandee percaya ada agenda tersembunyi di sebalik laporan polis Padua itu kerana pada masa yang sama, video ucapan Anifah tersebar. – 23 Februari, 2018.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen