'Bangsa Sabah', idea Warisan untuk satukan penduduk Sabah


Konsep 'Bangsa Sabah' yang dihasilkan oleh Warisan diharapkan dapat menyatukan penduduk Sabah sebagai satu bangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2018.

WARISAN Sabah menghasilkan idea “Bangsa Sabah” untuk menyatukan semua kaum di Sabah.

Setiausaha agungnya, Loretto Padua Jr, hari ini berkata Warisan mahu pengundi diberi alternatif baru, selain parti kaum ketinggalan zaman dalam Barisan Nasional (BN) yang membahagikan penduduk Sabah.

Beliau berkata Sabah bukan milik satu kaum sahaja - komuniti KadazanDusun Murut (KDM) - tetapi semua rakyat Sabah.

“Apabila kita melihat diri kita secara kolektif dan kohesif sebagai Bangsa Sabah, maka sukar bagi kerajaan persekutuan untuk menolak hak istimewa dan keistimewaan kita kerana kita kini bercakap sebagai negeri bukan sebagai bangsa tertentu,” katanya.

Kenyataan Padua datang ketika perang mulut mengenai kaum antara pemimpin Umno dan Warisan Sabah serta tindak balas kepada gesaanyang dibuat oleh parti berpangkalan di Sabah, Parti Anak Negeri Sabah (PAN) baru-baru ini untuk memenangi 22 kerusi KDM di negeri ini.

Presiden PAN Henrynus Amin baru-baru ini menjemput semua pemimpin politik pembangkang membentuk pakatan parti baru supaya ia boleh mempengaruhi keputusan dasar melalui kawalan ke atas 22 kerusi KDM di Sabah.

Pada 14 Februari, Padua membuat laporan polis terhadap Menteri Hal Ehwal Luar Anifah Aman atas dakwaan perkaumannya terhadap pemimpin Warisan Shafie Apdal pada majlis Tahun Baru Cina pada 9 Februari di Kota Kinabalu.

Anifah didakwa melabel Shafie sebagai “PTI”, akronim bagi pendatang tanpa izin.

Penyokong Anifah membalas dengan dua laporan polis pada Selasa, yang menuduh Padua memutar belit kenyataan Anifah dan laporan kedua terhadap Naib Presiden Warisan, Peter Anthony, kerana menggelar Anifah sebagai “Pakistan”, juga pendatang asing tanpa izin.

Mengenai Henrynus, Padua berkata gesaannya tidak berbeza dengan wakil kaum yang disokong oleh BN Sabah, sambil menambah masyarakat KDM Sabah sudah beralih daripada menerima layanan berdasarkan kaum di bawah rejim BN.

Beliau berkata pembahagian berdasarkan kaum adalah diskriminasi dan kegagalan seperti yang dilihat dalam 25 tahun pemerintahan BN di Sabah.

Masyarakat KDM sentiasa hidup dalam ketakutan akan kehilangan kuasa, tetapi mengadu mengenai rakyat Sabah yang jauh di belakang dari segi pendidikan dan pembangunan berbanding negeri lain di Malaysia, kata Padua.

“Apa yang semua parti politik dalam BN dan pemimpin parti pembangkang lain termasuk Henrynus mesti tahu dan faham adalah kita mesti mula berfikir tentang meritokrasi, bukannya bangsa supaya kita dapat menghasilkan orang Sabah yang sangat berbakat yang kemudiannya akan dapat memimpin negara tanpa perlu memberi keutamaan kepada mana-mana kaum tertentu.

“Lepas itu barulah boleh ada dasar yang adil untuk memberi manfaat bukan sahaja KDM, Bajau atau masyarakat Cina tetapi semua bangsa dan etnik yang dikenali sebagai orang Sabah seperti Sungai, Kadayan, Bisaya, Suluk dan sebagainya.” – 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen