DUA laporan polis berkaitan sentimen perkauman dibuat terhadap naib presiden dan setiausaha agung parti Warisan Sabah hari ini.
Bagi laporan polis pertama, Setiausaha Politik kepada Menteri Luar, Jihek Basanu berkata, setiausaha agung parti pembangkang itu Loretto S. Padua telah membuat laporan polis terhadap Menteri Luar Anifah Aman dengan menuduh menteri itu telah menyampaikan sebuah ucapan berbaur fitnah dan perkauman.
“Loretto telah memutarbelitkan ucapan Anifah pada satu majlis makan malam bersama masyarakat Cina kawasan Parlimen Kimanis di sini, 9 Februari lalu.
“Saya telah menghayati ucapan Anifah pada malam itu dan beliau tidak ada menyebut perkauman atau perkara yang sensitif mengenai kaum-kaum di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu hari ini.
Jihek berkata, beliau membuat laporan polis itu kerana khuatir ucapan Anifah itu disalahertikan oleh pembangkang dan digunakan untuk menyemarakkan kebencian dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Pada majlis itu, Anifah berkata rakyat di Sabah perlu mempertahankan negeri ini dengan memastikan kerajaan negeri hanya dipimpin oleh penduduk Sabah asli, tanpa mengira latar belakang kaumnya.
Sementara itu, seorang veteran Umno Sabah, Abdul Jalil Abdul Ghani membuat laporan polis terhadap Naib Presiden Warisan Peter Anthony yang didakwa memainkan sentimen perkauman dan keagamaan ketika berucap pada satu majlis di Matunggong pada 14 Februari lepas.
Rakaman video ucapan Peter itu telah disebarkan melalui laman Facebook, katanya.
Dalam video itu, beliau berkata Peter mempersoalkan bangsa Ketua Menteri Musa Aman dan keluarganya serta tindakan kerajaan melantik Bernard Dompok sebagai duta ke Vatican City.
Abdul Jalil berkata, Peter juga cuba membangkit semangat prejudis dalam kalangan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus kononnya masyarakat itu tidak melalui prosedur yang betul dalam memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin ketika presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menjadi menteri kabinet.
“Saya minta polis menyiasat tindakan Datuk Peter mencetuskan kebencian perkauman dan keagamaan. Ini satu permainan bahaya.
“Saya buat laporan polis agar tiada parti politik di Sabah atau di mana sahaja di Malaysia memainkan sentimen perkauman dan keagamaan,” katanya. – Bernama, 19 Februari, 2018.
Komen