Ucapan menghasut, Warisan buat laporan polis terhadap Anifah


Jason Santos

Menurut setiausaha Warisan, Loretto Padua Jr (tengah, kepala botak), mesej yang cuba disampaikan Anifah itu boleh disiasat di bawah Seksyen 499 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 4 Akta Hasutan. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Februari, 2018.

PARTI Warisan Sabah hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Luar Anifah Aman kerana menimbulkan kebencian kaum terhadap parti dan juga etnik presidennya Shafie Apdal.

Warisan mendakwa yang Anifah menuduh parti itu berniat untuk meneruskan legasi Sultan Sulu yang ingin menuntut Sabah.

Anifah mengeluarkan kenyataan itu di hadapan lebih kurang 300 orang ketika berucap di majlis makan malam Tahun Baharu Cina anjuran kawasan Parlimen beliau, Kimanis, di sebuah hotel lima bintang di Kota Kinabalu pada 9 Februari lalu. 

Sehubungan itu, setiausaha Warisan, Loretto Padua Jr menuntut polis Sabah menyiasat ucapan Anifah itu, sambil menekankan yang kenyataannya itu berbaur hasutan dan boleh menyebabkan perbalahan kaum di Sabah.

“Ada unsur perkauman tebal dalam ucapannya. Anifah berkata yang Warisan meneruskan perjuangan Sultan Sulu yang ingin menuntut Sabah.

“Kenyataan sebegitu sangat bahaya, tamabahan bila ia keluar dari mulut seorang pemimpin senior kebangsaan. Dia juga cakap yang Bajau bukan penduduk asal Sabah dan membahaya… Bajau adalah etnik presiden kami Shafie Apdal,” kata Padua kepada pemberita.

Turut hadir ketua pemudia Warisan Azis Jamman dan bendahari Terrence Siambun beserta beberapa ahli parti.

Padua berkata, beliau mahu polis menyiasat ucapan itu agar hubungan akrab antara kaum dan etnik di Sabah kekal harmoni.

Berdasarkan laporan itu, pada 12 Februari, Azis mendapat rakaman audio ucapan Anifah itu sebelum merujuk kepada biro parti.

Transkrip audio itu seperti berikut:

“Jangan sampai orang luar yang akan menerajui atau mentadbir negara kita. Saya tidak kisah sama ada Cina-kah, Kadazan-kah, Melayu-kah, Brunei-kah… jadi ketua menteri (Sabah). Saya tidak kisah. Cuma satu sayarat, bahawa mereka hendaklah orang Sabah tulen.

“Jangan daripada pulau datang sana, (menetap) lima tahun, sepuluh tahun, (kemudian) mahu jadi, mahu rampas kuasa.

“Lanun-lanun pakai kapal layar (logo) ni dan ini Warisan, tuan-tuan tahu… I explain this Warisan, dia menuntut waris, dia kata ‘ini nenek moyang saya punya negeri.’ Itulah parti itu dinama Warisan oleh kerana dia mewarisi nenek moyang dia yang mengatakan ini dulu dipunyai oleh Sultan Sulu. ‘Maka saya akan menuntut waris’.”

Transkrip ini dan rakaman audio itu turut diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu, Azis berkata, kenyataan Anifah tidak kena pada masa kerana sudah ramai rakyat Sabah tahu akan usaha bekas senator Filipina yang mahu menjadikan Sabah milik Filipina dalam penggubalan perlembagaan negara itu.

Azis merujuk kepada kenyataan anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina Aquilino Pimentel yang dilantik bagi mengkaji semula Perlembagaan 1987 Filipina.

Dalam pada itu, menurut Padua, mesej yang cuba disampaikan Anifah itu boleh disiasat di bawah Seksyen 499 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 4 Akta Hasutan.

Ditanya mengenai adakah Shafie akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Anifah, Padua berkata perkara itu sedang dibincangkan secara serius oleh ahli Parlimen Semporna itu. – 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen