Malaysia tidak layan tuntutan Filipina nak ambil Sabah


Sabah akan dimasukkan sebagai negeri ke-13 Filipina, atas cadangan oleh bekas senator Aquilino “Nene” Pimentel, yang juga ahli Jawatankuasa Perundingan Filipina. Gambar menunjukkan Pimentel tertidur sekejap ketika sesi perbahasan di Dewan Perwakilan di Manila. – Gambar EPA, 31 Januari, 2018.

MALAYSIA hari ini mengulangi pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf dan melayan tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah, kata Menteri Luar Anifah Aman.

Katanya, Pertubuhan Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa telahpun mengiktiraf Sebah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan persekutuan pada 16 September 1963.

Anifah berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina Aquilino Pimentel seperti dilaporkan ABS-CBN News Filipina.

Menurut laporan itu, Pimentel yang dilantik  bagi mengkaji semula Perlembagaan 1987, berkata beliau akan mencadangkan kemasukan Sabah ke dalam Filipina sebagai sebahagian daripada peralihan negara itu kepada sistem kerajaan persekutuan.

Cadangan itu, sekiranya diterima, akan meletakkan Sabah sebagai negeri ke-13 Filipina.

Tambah Pimentel, kerajaan Filipina patut mencari jalan untuk memasukkan Sabah ke dalam Filipina menggunakan undang-undang antarabangsa.

Justeru, Anifah dalam satu kenyataan hari ini berkata: “Kenyataan (tuntutan) seperti ini akan hanya mendedahkan kejahilan tentang sejarah dan undang-undang antarabangsa di pihak mereka yang menyuarakannya serta berpotensi untuk merosakkan hubungan dua hala yang begitu kukuh antara Malaysia dan Filipina ketika ini.”

Tuntutan terhadap Sabah itu adalah sebahagian daripada janji Presiden Rodrigo Duterte sepanjang kempen pilihan rayanya pada 2016, menegaskan yang pentadbirannya akan menjalankan inisiatif itu hanya dengan cara yang aman sahaja.

Pimentel berkeras mengatakan Sabah adalah hak milih Filipina, malah beliau mendakwa ada dokumen yang membuktikan bahawa Malaysia cumalah memajaknya sahaja.

Beliau merujuk pada perjanjian pajak tanah 1878 antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British terhadap Borneo Utara ketika itu.

Bagaimanapun, pada November 2016, Perdana Menteri Najib Razak dan Duterte dilaporkan bersetuju yang perkara ini patut “disimpan dahulu.”

Malah Duterte berkata yang tuntutan terhadap Sabah bukan keutamaan buat masa itu.

Pada 1977, semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Presiden Ferdinand Marcos berikrar untuk menggugurkan tuntutan Filipina terhadap Sabah yang wujud sejak sekian lama sebelum itu. – 31 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sabah telah memilih utk bersama2 Sarawak & Singapura utk masuk didalam gagasan Malaysia..jd ianya milik malaysia & telah diiktiraf oleh dunia..tak perlu dipertikaikan lg..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • Sabah telah memilih utk bersama2 Sarawak & Singapura utk masuk didalam gagasan Malaysia..jd ianya milik malaysia & telah diiktiraf oleh dunia..tak perlu dipertikaikan lg..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan