Pembela akan mulakan gelombang kedua BMF pada Disember


Mohd Farhan Darwis

Pelaksanaan BMF menyaksikan wujudnya pusat beli belah menjual produk pengusaha dan peniaga Melayu, Islam iaitu Malakat Mall di Cyberjaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2022.

GABUNGAN Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) akan melancarkan gelombang kedua kempen beli barangan orang Islam atau Buy Muslim First (BMF) pada Disember, selepas kempen awal terbantut disebabkan pandemik Covid-19, kata pengerusinya Aminuddin Yahya.

Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan menganjurkan ekspo besar-besaran yang menjual produk keluaran peniaga Melayu dan Islam bagi meningkatkan kembali momentum BMF yang menurutnya merupakan sebahagian daripada peradaban Melayu dari sudut ekonomi.

“Sebenarnya (kempen BMF) berjalan cuma tidak berjalan seperti kita harapkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi pada Disember nanti kita akan angkat balik, itu peradaban dalam konteks luas membantu ekonomi negara.

“Pada bulan Disember kita akan buat (mulakan semula kempen BMF), kita akan buat ekspo besar-besaran,” kata Aminuddin.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Hari Peradaban Bangsa Melayu di padang bola sepak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, melalui gelombang kedua itu, Pembela juga sedang merancang untuk menubuhkan jaringan bekalan untuk komuniti peniaga dan pengusaha Melayu memandangkan jaringan sedia ada dikawal oleh kartel tertentu.

“(Peningkatan) harga barang disebabkan kartel, kita semua bergantung kepada kartel, pada masa depan kita akan bina rantaian bekalan kita sendiri, daripada pengeluar sehingga sampai kepada pengguna.

“Sekarang kita tak dapat buat kerana sekarang kita hanya pengguna,” katanya.

BMF digerakkan Pembela bersama NGO seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan menerima sambutan daripada komuniti Melayu dan Islam dalam negara sejak akhir 2018 dan dilancarkan pada 2019.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya berkata kempen BMF tidak gagal sebaliknya tertangguh disebabkan PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Julai, 2022.

Kempen itu menyeru pengguna mengutamakan produk keluaran usahawan Melayu dan Islam, iaitu perniagaan yang menyokong sumber ekonomi Islam seperti bayaran zakat.

Aminuddin berkata, kempen awal BMF boleh dianggap berjaya sehingga peniaga Melayu dan Islam ketika itu mampu meningkatkan pendapatan mereka berlipat kali ganda.

Namun usaha itu katanya terbantut selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin waktu itu melancarkan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19, pada Mac 2020.

“Terbukti berapa banyak (program) kita lancar, berapa banyak peniaga Melayu pendapatan mereka meningkat, kalau tidak disebabkan PKP kita sudah menjadi gelombang besar.

“Kita tak gagal tetapi PKP yang sebabkan kita tertangguh,” katanya.

Pelaksanaan BMF juga menyaksikan wujudnya pusat beli belah yang menjual produk keluaran pengusaha dan peniaga Melayu, Islam iaitu Malakat Mall di Cyberjaya.

Kempen BMF waktu itu turut disokong secara terbuka oleh pemimpin PAS dan Umno yang bersama menggerakkan kerjasama baharu Muafakat Nasional (MN).

Kelompok bukan Islam menolak kempen BMF sebagai usaha menjejaskan keharmonian dan perdana menteri waktu itu Dr Mahathir Mohamad juga melihat kempen berkenaan akan mencetuskan kemarahan kaum.

Kumpulan peniaga bukan Islam bagaimanapun percaya kempen mengutamakan produk dan perkhidmatan orang Islam itu tidak menjejaskan perniagaan mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir waktu itu mengumumkan kempen BMF sebagai satu kegagalan.

Ia dianggap tidak berjaya menurunkan harga barangan seperti didakwa oleh penganjurnya dan menyarankan pengguna supaya mengutamakan produk buatan Malaysia. – 30 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen