Berhenti sekolah untuk kahwin muda, elak pandangan serong masyarakat


Diyana Ibrahim

MUHAMMAD Danish Fauzi,18, nekad mahu berkahwin dengan Nurul Syuhada Azmin,17, biarpun baru berkenalan selama sembilan bulan kerana baginya ia cinta pandang pertama.

Bagi pasangan dari Bachok, Kelantan ini, usia muda bukan halangan mereka berkahwin. Tidak habis sekolah juga bukan isu besar.

Bagi mereka lebih baik berkahwin daripada melakukan perkara tidak elok.

Nurul Syuhada yang berasal dari kampung Tok Mekong tahu pada usianya dia sepatutnya sibuk membuat persiapan untuk menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) seperti kawan-kawannya yang lain.

Namun gadis remaja itu nekad berhenti sekolah kerana ingin menjadi seorang isteri yang baik dan taat kepada suami.

“Saya bersedia untuk menjadi isteri yang baik dan saya yakin boleh melakukannya,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di rumahnya pada malam selepas dinikahkan dengan Danish, Khamis lepas.

Nurul Syuhada mengaku berdebar melangkah gerbang perkahwinan tetapi tidak menyesal dengan keputusannya berhenti sekolah untuk berkahwin.

Nurul Syuhada Azmin,17, nekad berhenti sekolah kerana ingin menjadi seorang isteri yang baik dan taat kepada suami. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2022.

Pada malam itu, pengantin baharu itu bersama ahli keluarga sibuk membuat persiapan bagi majlis persandingan pada hari esoknya. Dua kakak pengantin perempuan, Nurul Syazlin, 19, dan Nurul Syazkila, 20, juga akan disandingkan bersama.

Nurul Syuhada memilih dua persalinan songket berwarna biru dan hijau untuk dipakai pada majlis persandingannya.

Anak keempat daripada sembilan adik  beradik itu berkata keluarganya bukan orang senang. Mereka sekeluarga juga  baru sahaja kehilangan ayah yang positif Covid-19 pada April lepas.

“Sebelum ini pun masa sekolah saya bekerja juga. Selepas habis sekolah saya bekerja di kedai makan untuk bantu keluarga. Jadi masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya berhenti sekolah,” katanya.

Menurut Nurul Syuhada, keluarga suaminya telah lama melamarnya sejak umurnya 16 tahun lagi, namun ketika itu arwah ayahnya tidak bersetuju.

“Waktu itu arwah ayah kata saya terlalu muda untuk berkahwin, jadi ayah minta tangguhkan dulu dan tunggu sehingga saya di usia yang sesuai untuk berkahwin,” katanya.

Nurul Syuhada Azmin (kanan) dan dua kakaknya, (dari kiri) Nurul Syazkila, 20, dan Nurul Syazlin, 19, pada hari persandingan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2022.

Isu perkahwinan bawah umur sering diperdebatkan di Kelantan yang ditadbir oleh PAS terutama apabila kerajaan negeri tidak bersetuju menaikkan had pindaan umur remaja perempuan kepada 18 tahun.

Kelantan adalah antara negeri yang tidak setuju menaikkan had umur berkahwin selain Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, dan Kedah. Setakat ini hanya Selangor yang meluluskan pindaan enakmen berkenaan.

Sebelum ini, Ketua  Wanita Amanah Kelantan Dr Hafidzah Mustakim berkata perkahwinan bawah umur di Kelantan masih senang diluluskan oleh mahkamah syariah.

Bagi tempoh 2001 sehingga 2017, sebanyak 2,226 permohonan perkahwinan bawah umur diluluskan di Kelantan dan pada tahun 2018 negeri itu mencatat perkahwinan bawah umur membabitkan 135 kes.

Selain perkahwinan bawah umur, pakar pendidik dan badan bukan kerajaan juga bimbang mengenai kesan pandemik Covid-19 apabila ramai yang memilih untuk berhenti sekolah.

Pada Disember lepas, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mendedahkan sejumlah 21,316 pelajar di negara ini telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai tahun lepas.

Laporan Kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mengenai keadaan sosioekonomi selepas berakhirnya PKP pada Mei lepas mendedahkan perutusan murid menengah atas yang tidak hadir ke sekolah agak membimbangkan.

Kelantan antara negeri yang tidak setuju menaikkan had umur berkahwin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2022.

Elak masyarakat cemuh

Sementara itu, Danish berkata beliau mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Nurul Syuhada pada usia muda kerana mahu mengelak persepsi tidak elok daripada penduduk kampung.

Tambahan pula beliau sering mengambil dan menghantar Nurul Syuhada yang bekerja di kedai makan keluarganya.

“Memang nak elak daripada penduduk kampung yang kata tidak elok. Saya tiap hari ambil dan hantar Syuhada dan kalau balik kerja itu memang sampai lewat malam. Jadi memang adalah yang kata, jadi sebab itu saya nak cepat-cepat kahwin dengan Syuhada,” katanya.

Ditanya bagaimana mereka bertemu,  Danish berkata beliau pertama kali berjumpa isterinya di Pantai Senok, iaitu antara  tempat yang menjadi tumpuan remaja.

“Pertama kali saya lihat Syuhada terus saya dah jatuh cinta. Saya mula jumpa dia di Pantai Senok, di situ memang ramai orang muda lepak sana.

 “Jadi saya beranikan diri untuk tegur  Syuhada melalui kawannya, dan dia pun memberi respons yang baik. Ketika itu dia baru berusia 16 tahun,” katanya.

Danish, yang juga berhenti sekolah semasa PKP tahun lepas kerana lebih berminat untuk meneruskan perniagaan kedai makan keluarganya, menolak persepsi usia muda dianggap tidak matang untuk berkahwin.

Menurut Danish, beliau mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami dan menyifatkan gaji RM1,500 yang diterima itu cukup menampung kehidupan mereka berdua.

“Saya rasa itu bukan isu, saya sudah lebih dari bersedia dan tahu tanggungjawab, dan keluarga pun tidak membantah. Mereka mengalakkan saya berkahwin awal,” katanya.

Nurul Syuhada Azmin mencuba persalinan songket berwarna hijau untuk dipakai pada majlis persandingannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2022.

Ibu Nurul Syuhada, Rosmazini Malik, 41, pula berkata beliau tiada halangan untuk anaknya berkahwin awal biarpun tidak menghabiskan persekolahannya.

Rosmazini berkata ia mungkin merupakan jalan terbaik memandangkan Nurul Syuhada pun tidaklah cemerlang dalam pelajaran.

“Lagipun keluarga bukanlah senang sangat sejak permergian suami, kehidupan agak sukar kerana saya terpaksa membesarkan lagi lima orang anak yang masih kecil.

“Jadi saya hanya bergantung pendapatan daripada hasil jual pisang goreng dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya rasa lebih elok dia berkahwin,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata hanya Nurul Syuhada sahaja yang tidak habis sekolah.

Sementara itu, ahli Lembaga rumah perlindungan remaja  Raudhah Sakeenah Kelantan (RSK) Profesor Dr Madya Dasmawati Mohamad berkata, pihaknya sering berdialog dengan pihak mahkamah syariah di Kelantan berhubung isu perkahwinan bawah umur.

Jelas beliau, pihaknya bimbang ia dibenarkan tanpa adanya penilaian lebih mendalam berhubung tujuan pasangan itu berkahwin.

“Isu ini tidak boleh dirangkul semua secara luarannya, kena ikut kes yang berlaku. Ada sesetengah kes remaja berusia 15 tahun atau 16 tahun tapi fizikal mereka seperti wanita matang dan pasangan pun sama, dengan beza umur tidaklah terlalu jauh.

“Tapi yang jadi kebimbangan kita kes yang berkahwin untuk elakkan zina, sedangkan remaja itu tidak tahu diri sendiri matang atau lebih kepada keseronokan, namun dari segi tanggungjawab kepada suami dan juga apabila dia menjadi bakal ibu nanti dia tidak matang dan tidak bersedia.

“Kerajaan perlu perhalusi perkara itu kerana bimbang takut ada perlakuan sexual grooming atau antunan seksual terutama apabila jarak pasangan lebih berusia,” katanya. – 12 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen