Kenaikan harga burukkan lagi krisis makanan global


Jumlah penduduk dunia yang kelaparan meningkat kepada 811 juta setakat ini dan keadaan semakin meruncing di Yaman, Afghanistan dan Selatan Sudan. – Gambar AFP, 13 Julai, 2022.

KENAIKAN harga makanan memburukkan lagi krisis makanan global, lapor Xinhua, memetik agensi bantuan bukan kerajaan Jerman, Welthungerhilfe pada Selasa.

“Berjuta-juta orang berdepan kebuluran, kerana keluarga tidak lagi mempunyai apa-apa sumber.

“Kenaikan harga menjadikan keadaan semakin sukar buat golongan termiskin,” kata Setiausaha Agung Welthungerhilfe Mathias Mogge.

Harga makanan meningkat sebanyak 28% pada 2021 di seluruh dunia, dan keadaan diburukkan lagi dengan konflik Rusia-Ukraine, menurut laporan tahunan Welthungerhilfe 2021.

Jumlah penduduk dunia yang kelaparan meningkat kepada 811 juta setakat ini dan keadaan semakin meruncing di Yaman, Afghanistan dan Selatan Sudan.

“Selain itu, Madagascar dan negara-negara Afrika Timur turut terjejas teruk. Di negara-negara ini, kemarau yang melanda mempengaruhi ‘iklim persekitaran’,” menurut laporan itu.

Welthungerhilfe memaklumkan konflik bersenjata sejak beberapa tahun kebelakangan turut menyumbang kepada punca masalah kelaparan selain faktor perubahan iklim.

“Peperangan mempunyai kesan besar terhadap sistem makanan sebagai contoh, ladang dibakar, stok makanan dirompak atau penjualan tanaman dihadkan,” menurut laporan itu. – Bernama, 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen