Tuduhan membuli tidak berasas, kata doktor senior


Elill Easwaran

Doktor senior berkata mereka perlu mengelak melakukan kesilapan dalam menjalankan tugas kerana walaupun silap kecil, ia mungkin menyebabkan nyawa pesakit tergadai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2022.

DOKTOR senior di hospital kerajaan berkata mereka menjadi secara tidak adil menjadi sasaran dengan dituduh membuli junior.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka dilemparkan tuduhan tanpa ada yang mendengar kisah mereka, sedangkan di kebanyakan kes mereka hanya menegur junior dalam cara mengendalikan pesakit, dan keadaan itu sering disalah faham, dianggap sebagai membuli atau mengganggu.

“Dalam banyak contoh, doktor junior anggap teguran itu sebagai membuli. Ada sesetengah daripada mereka masih tidak faham yang kita di sini berdepan dengan nyawa orang.

“Itu sebabnya teguran dan disiplin akan penting,” kata seorang pakar obstetrik-ginekologi yang hanya mahu dikenali sebagai Samantha.

Minggu lalu, Samantha membuat laporan polis di balai polis Damansara terhadap satu akaun media sosial yang menamakan beberapa doktor senior, termasuk dirinya sebagai pembuli berdasarkan tuduhan dibuat doktor junior.

“Anda tidak boleh fitnah orang tanpa tuduhan berasas. Kena selalu siasat kedua-dua pihak.

“Profesion kami dipandang tinggi selama ini dan sekarang kami bergaduh antara satu sama lain. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku.

Bulan lalu, doktor junior memberitahu The Malaysian Insight amalan membuli doktor junior menjadi kelaziman di hospital kerajaan.

Isu buli itu mendapat perhatian susulan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang. Mangsa meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan di Jalan Datuk Keramat di George Town.

Beberapa wakil rakyat menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan menterinya Khairy Jamaluddin untuk memandang serius insiden itu.

Seorang lagi doktor senior bertugas di Negeri Sembilan, yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal berkata jika doktor senior tidak tegas terhadap doktor junir, pasti banyak nyawa yang melayang.

“Anda kena faham tugas kita berdepan dengan nyawa orang, jadi kita perlu pastikan tidak ada kesilapan dilakukan.

“Kita cenderung untuk sangat tegas terhadap doktor junior, tetapi mereka sering salah faham dan anggap itu membuli,” kata Akmal.

“Hanya individu yang tidak dapat menanggung tekanan akan anggap mereka dibuli, sedangkan ramai lagi doktor junior yang lain faham, kita tidak mahu mereka mendatangkan kecederaan kepada pesakit dalam apa jua cara.

“Kita perlu faham, profesion doktor tidak seperti pekerjaan lain. Mungkin dalam profesion lain, seseorang boleh buat kesilapan, tetapi satu kesilapan mudah di sini boleh menyebabkan kematian,” kata Akmal yang sudah lebih 10 tahun bertugas sebagai doktor.

Beliau berkata siasatan lengkap perlu dijalankan pihak berkuasa sebagai melabelkan mana-mana doktor sebagai pembuli.

“Saya sangat menentang buli dan jika benar ia berlaku, saya pun mahu doktor berkenaan digantung tugas, tetapi siasatan perlu dibuat terlebih dulu.”

Sementara itu, seorang doktor senior di Pulau Pinang yang mahu dikenali sebagai Jason berkata beliau tidak tahu jika ada kejadian buli berlaku di hospital itu.

“Saya sendiri pun pernah jadi doktor junior, dan memang betul doktor senior cenderung untuk bersikap tegas, tetapi itu pun untuk kebaikan kita juga.

“Kalau bukan kerana ketegasan doktor senior saya pada masa dulu, saya tidak akan berada di sini,” kata Jason.

Jason berkata ketika menjadi doktor pelatih, beliau pernah ditengking kerana melakukan beberapa kesilapan tetapi menganggapnya sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan sama.

“Apa pun, ia bagaimana kita menerima keadaan itu. Bila ada doktor senior yang tegas, mungkin ada yang rasa itu membuli, tapi ada yang anggap ketegasan itu kerana doktor berkenaan mahu kita jadi lebih bagus lagi.

“Sepanjang latihan housemanship, mungkin ada yang anggap ia tahun bulan madu, jadi sudah tentu pada pandangan saya, seseorang perlu bimbing kami dalam cara lebih tegas bagi memastikan tidak ada kesilapan dilakukan,” katanya. – 11 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen