Persatuan bincang sistem aduan doktor pelatih dengan KKM


Noel Achariam

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai (kiri) berkata KKM mempunyai sistem yang menugaskan doktor kanan menjaga doktor pelatih tetapi ia tidak dipatuhi semua hospital. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Mei, 2022.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) akan membincangkan keberkesanan sistem aduan untuk doktor pelatih yang ditubuhkan di hospital kerajaan, kata presidennya Dr Koh Kar Chai.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai sistem yang menugaskan doktor kanan menjaga doktor pelatih.

“KKM menyediakan satu sistem untuk doktor pelatih membangkitkan sebarang aduan mereka.

“Bagaimanapun, ia akan berkesan jika setiap jabatan menggunakannya, tetapi terdapat beberapa hospital yang tidak mematuhi sistem itu.

“Kami sedang berbincang dengan KKM mengenai perkara ini,” kata Koh pada sidang media di ibu pejabat MMA di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau tidak menjelaskan secara terperinci hospital mana yang tidak mengikut sistem KKM.

Tambahnya, KKM perlu melihat semua faktor yang mempengaruhi doktor pelatih termasuk buli oleh doktor kanan.

Koh berkata kes buli meningkat dengan kemasukan doktor pelatih sejak “bertahun lalu”.

“Lebih enam tahun lalu terdapat pertambahan graduan perubatan dan kami mengemukakan kebimbangan ini kepada KKM.

“Satu-satunya faktor penyumbang utama sekarang ialah bilangan graduan perubatan yang tinggi dimasukkan ke dalam sistem.

“Sebarang penderaan yang melibatkan doktor muda atau kanan perlu dilaporkan dan tindakan diambil untuk mengelakkan ia berterusan.”

Kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini mendedahkan isu buli di kalangan doktor muda dalam perkhidmatan kerajaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM akan membentuk pasukan petugas bebas untuk menyiasat kes seorang doktor pelatih yang meninggal dunia baru-baru ini.

Beliau berkata unit itu juga akan menyiasat dakwaan buli dalam kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan.

Koh hari ini berkata pasukan petugas itu harus melihat budaya buli bagi membantah demi kebajikan semua doktor.

Beliau juga menggesa pelatih yang menghadapi masalah menyalurkan aduan kepada talian bantuan yang dipanggil HelpDoc yang dilancarkan oleh MMA pada 2016.

“Menyedari buli mungkin tidak pernah dilaporkan kerana takut dipulaukan, MMA melancarkan talian bantuan.

“Sejak 2016, kami menerima 120 aduan. Daripada itu, 36 aduan adalah mengenai buli, manakala yang lain adalah isu berkaitan kerja.”

Beliau berkata tidak akan mendedahkan butiran lanjut mengenai aduan yang diterima, kerana sensitiviti kepada doktor pelatih. – 10 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen