Kes buli doktor pelatih hanya babit jumlah kecil, kata MMA


Noel Achariam

Hanya sebilangan kecil sahaja kes buli serius melibatkan doktor pelatih, kata Persatuan Perubatan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Mei, 2022.

KES buli serius terhadap doktor pelatih hanya melibatkan jumlah yang kecil dan laporan baru-baru ini tidak harus disalah tafsir, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

“Apabila kes buli dilaporkan, ia disalah anggap seolah-olah kerap berlaku. Semua kes yang berlaku sebelum ini juga disebuat.

“Sebilangan kecil kes ini ditasirkan sebagai banyak kes yang berlaku sepanjang tahun ini,” kata Presiden MMA Dr Koh Kar Chai pada sidang media di ibu pejabat persatuan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau, punca wujudnya tekanan dalam kalangan doktor perlu jadi keutamaan dan dipandang serius.

“Sebelum kita bercakap tentang penyediaan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, pertama sekali kita mesti menjaga kebajikan petugas kesihatan dulu.

“Kalau mereka tidak sihat, bagaimana mereka hendak rawat pesakit?”

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Mei, 2022.

Dr Koh berkata Kementerian Kesihatan (KKM) harus melihat isu yang dialami doktor pelatih serta kebajikan mereka.

“Isu ini bukan mengenai doktor pelatih semata-mata, tetapi beban yang harus ditanggung oleh para doktor,” katanya.

Kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang baru-baru ini mendedahkan isu buli dalam kalangan doktor muda.

Doktor pelatih berkenaan dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya pada 17 April lalu, hanya tiga minggu selepas ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.

Susulan itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentuk pasukan petugas bebas untuk menyiasat kes kematian doktor pelatih terbabit.

Pasukan itu juga akan menyiasat dakwaan buli dalam kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan, katanya. – 10 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen