Profesional kesihatan perlu keadaan kerja selamat, kata pakar


Gabungan Kesihatan Malaysia hari ini menggesa Kementerian Kesihatan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat di hospital dan klinik awam bagi meningkatkan mutu penjagaan kesihatan selain membasmi kes buli dan diskriminasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan perlu mengambil langkah mantap untuk mewujudkan persekitaran kerja yang sihat di hospital dan klinik awam, kata Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) hari ini.

MHC dalam satu kenyataan berkata terdapat keperluan untuk budaya kerja positif yang bukan sahaja menggalakkan kualiti, pembelajaran dan pertumbuhan, tetapi juga antibuli dan antidiskriminasi.

“Walau kami faham profesional kesihatan muda perlu bekerja lebih lama untuk tambah kemahiran dan kecekapan, kami juga gesa keseimbangan melindungi kesejahteraan dan kesihatan mental mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

MHC juga berkata ia mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas untuk menyiasat kematian seorang doktor muda di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pada 17 April lalu seorang doktor pelatih berusia 25 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga doktor muda itu, MHC berkata para profesional kesihatan berhadapan tekanan luar biasa semasa pandemik Covid-19.

“Tekanan ini ditambah kepada tekanan sedia ada sistem penjagaan kesihatan awam yang terlebih beban, kurang kakitangan dan kurang dibiayai, walaupun sebelum Covid-19.

“Jika tekanan ini tidak diurus dengan baik, kesejahteraan dan kualiti kerja kakitangan penjagaan kesihatan akan terjejas. Seterusnya, ia akan menjejaskan penjagaan pesakit,” katanya.

MHC juga mengingatkan doktor kanan ada cara untuk mengajar, memberi inspirasi dan memotivasikan doktor muda tanpa menganiaya.

Tambahnya doktor kanan perlu mengambil tanggungjawab membina ruang kerja yang selamat, selain aktif tangani tingkah laku tempat kerja yang toksik.

“Kami menggesa langkah segera dan kukuh ke arah budaya kerja yang positif di semua institusi penjagaan kesihatan,” kata MHC yang terdiri daripada 27 organisasi dan lapan individu.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan membentuk pasukan petugas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang meninggal dunia bulan lepas

Beliau berkata pasukan petugas itu juga akan menyiasat dakwaan buli yang berlaku dalam kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan.

Sebelum ini, doktor muda yang bercakap dengan The Malaysian Insight berkata buli adalah perkara biasa di hospital kerajaan. – 8 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen