KKM akan tubuh pasukan petugas siasat kematian doktor pelatih, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM akan membentuk pasukan petugas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang meninggal dunia bulan lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan akan membentuk pasukan petugas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang meninggal dunia bulan lepas, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan berkata pasukan petugas itu juga akan menyiasat dakwaan buli yang berlaku dalam kalangan doktor pelatih dalam perkhidmatan kerajaan.

“Kementerian Kesihatan akan menubuhkan pasukan petugas bebas untuk menyiasat kes ini (kematian doktor pelatih di Pulau Pinang) dan juga budaya buli yang didakwa,” kata Khairy menerusi Twitter hari ini.

Pada 17 April lalu seorang doktor pelatih berusia 25 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang.

Doktor pelatih itu ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April 2022.

Khairy berkata beliau menerima laporan awal kematian doktor pelatih itu daripada Ketua Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Beliau juga difahamkan polis sedang melengkapkan siasatan berhubung perkara itu.

Pada Rabu Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata kematian doktor pelatih itu sedang disiasat polis. 

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ma’arof Sudin berkata polis mengarahkan bedah siasat yang akan dilakukan di Hospital Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin hari ini berkata jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat peringkat negeri bagi menyiasat isu yang dihadapi doktor pelatih.

Beliau menambah mereka ingin mencari penyelesaian terbaik untuk masalah yang dihadapi doktor muda.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa semua ahli profesional dalam bidang penjagaan kesihatan yang mengalami sebarang isu peribadi boleh menghubungi ‘HelpDoc’ MMA – kumpulan sokongan untuk doktor.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata maklumat lanjut tentang ‘HelpDoc’ boleh didapati di laman sesawang MMA di www.mma.org.my –  6 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen