Mesyuarat khas tangani isu doktor pelatih diadakan tidak lama lagi, kata Exco


Ravin Palanisamy

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Norlela Ariffin menambah mereka ingin mencari penyelesaian terbaik untuk masalah yang dihadapi doktor muda. – Gambar Facebook, 6 Mei, 2022.

JAWATANKUASA Kesihatan Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat peringkat negeri tidak lama lagi bagi menyiasat masalah yang dihadapi doktor muda, kata Norlela Ariffin.

Pengerusi jawatankuasa kesihatan negeri itu menambah mereka ingin mencari penyelesaian terbaik untuk masalah yang dihadapi doktor muda.

“Kami mahu menangani isu ini secara rasmi dan mencari penyelesaian sebenar untuk perubahan,” kata Adun Penanti itu dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, Norlela berkata mereka akan mengadakan mesyuarat khas dengan pegawai dan doktor pelatih bagi mendengar pendapat mereka mengenai isu yang dihadapi sebelum bertemu pentadbiran hospital dan pegawai jabatan kesihatan.

Norlela berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin serta pihak berkepentingan di kementerian sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Pada 17 April lalu, seorang doktor pelatih berusia 25 tahun maut selepas terjatuh dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat di George Town, Pulau Pinang.

Doktor pelatih itu ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April 2022.

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata kematian doktor pelatih itu kini sedang disiasat polis.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Ma’arof Sudin berkata polis telah mengarahkan bedah siasat dijalankan, yang akan dilakukan di jabatan forensik di Hospital Pulau Pinang.

Norlela sebelum ini menggesa kementerian untuk melihat keadaan kerja doktor muda di hospital kerajaan, sambil mendakwa ramai daripada mereka tertakluk kepada tugasan “tidak berperikemanusiaan”.

Kini, beliau berharap kementerian akan bersikap telus dalam semua perkara.

“Saya telah menerima begitu banyak pandangan mengenai isu yang dihadapi doktor muda dan doktor pelatih serta cadangan bagaimana untuk merombak sistem.

“Saya harap Kementerian Kesihatan akan mengubah budaya merahsiakan segala-galanya. Ia mengecewakan kerana sukar untuk mendapatkan kebenaran sebenar dan menyelesaikan masalah,” tambahnya. – 6 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen