PAKATAN Harapan Kedah yakin mendapat sokongan rakyat Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) biarpun Barisan Nasional mendakwa mereka akan pertahankan kuasa dengan raih majoriti dua pertiga.
Pengerusinya, Mukhriz menyifatkan PH Kedah tidak terjejas dengan dakwaan BN itu kerana gabungan pembangkang juga mempunyai kajian sendiri.
“Kita terbuka, kerana ia pandangan masing-masing. Pandangan berbeza-berbeza. Setiap pihak akan tunjukkan keyakinan,” katanya kepada media selepas menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina di Alor Setar, Kedah hari ini.
Beliau berkata, PH juga mempunyai kajian yang dijalankan ke atas rakyat negeri itu bahawa ia mempunyai peluang tinggi untuk menang.
“Mereka yakin ini peluang PH untuk ambil alih Kedah dan kemenangan kerusi Parlimen peringkat Persekutuan juga tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Ahmad Bashah yakin bahawa BN akan terus bertahan di Kedah malah memperolehi majoriti dua pertiga.
Kedah akan menjadi negeri tumpuan dalam PRU14 kerana bakal menyaksikan pertembungan sengit antara PH dan BN.
Malah, Ketua Pemuda Umno Kedah Shaiful Haizizy mengakui Bersatu dan pengerusinya Dr Mahathir mempunyai sedikit pengaruh di Kedah.
Pengaruh itu, kata Shaiful masih ada di kalangan ahli Umno sendiri dan beliau memberi amaran ahli yang berbelah bahagi supaya keluar sahaja parti.
Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pecahan; 21 (BN), 8 (PAS) , 2 (DAP) 1 (Amanah) dan 15 kerusi Parlimen dengan 10 kerusi milik BN , (4) PKR, (1) PAS.
Pada masa sama, Mukhriz juga masih berteka-teki mengenai kerusi yang bakal ditandinginya.
“Insyallah saya bertanding, yang saya dapat buat pengesahan saya tidak akan bertanding di Selangor.” – 18 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan