Umno Kedah yakin tamatkan riwayat politik Dr Mahathir, Bersatu


Diyana Ibrahim Muzliza Mustafa

Umno Kedah percaya pengaruh Dr Mahathir dan Bersatu walaupun ada tidak berupaya diterjemahkan kepada undi memihak pembangkang. Situasi yang sekiranya berlaku akan menguburkan Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2018.

ADA beberapa sebab Barisan Nasional (BN) menolak ramalan yang mereka akan kehilangan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pertamanya, BN melihat pilihan raya kali ini sebagai peluang keemasan untuk mereka menghapuskan hayat dan pengaruh Dr Mahathir Mohamad jika parti serpihan Umno itu kalah di Kedah.

Menurut Ketua Pemuda Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin, PRU14 menjadi pertarungan terakhir Dr Mahathir kerana sekiranya Bersatu kalah dalam PRU14 maka sukar untuk pemimpin itu bangkit dan merancang strategi dalam pilihan raya akan datang.

Faktor kedua, kata Shaiful yang juga setiausaha politik menteri besar Kedah, Bersatu hanya dianggap releven oleh rakyat kerana pendekatan mereka membawa isu semasa seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu dana RM2.6 bilion.

Walhal, katanya kebimbangan utama rakyat Kedah yang rata-ratanya merupakan penduduk luar bandar ialah mengenai peningkatan kos sara hidup dan peluang pekerjaan dan usaha sedang dilakukan BN secara objektif untuk membantu rakyat menangani permasalahan ini.

“Pilihan raya ini merupakan penentu, hidup dan mati Bersatu.

“Mereka cuma releven sekarang, kerana hanya mengheret isu semasa seperti 1MDB, RM2.6 bilion, Jho Low yang telahpun diterangkan berulang kali dan telah diselesaikan. Jika kami dapat kekalkan kemenangan, isu tersebut sebenarnya dengan sendirinya tidak akan diperbincangkan lagi,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Pakatan Harapan terdiri daripada Bersatu, PKR, Amanah dan DAP ditubuhkan dengan matlamat membina sebuah Malaysia baru yang bebas daripada rasuah dan skandal dan berkempen atas moto “Sayang Malaysia Hapus Kleptokrasi”.

Bagaimanapun, kebimbangan utama penduduk luar bandar ialah kos sara hidup dan bukannya skandal 1MDB.

Menurut Merdeka Centre, pengundi Malaysia sangat terbeban dengan kos sara hidup dengan 72% daripadanya meletakkan isu ekonomi sebagai perkara paling membimbangkan mengatasi isu lain seperti jenayah, masalah sosial, perkauman dan politik.

PRU14 akan jadi pertarungan terakhir Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu, kata Ketua Pemuda Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2018.

Ketiga, Bersatu dilihat sebagai sebuah parti yang amat lemah kerana hanya mempunyai seorang tokoh iaitu Dr Mahathir Mohamad yang kini sudah berusia 93 tahun.

“Sebenarnya, Amanah lagi kuat di Kedah berbanding Bersatu. Bersatu ini parti merempat, dia tumpang orang sebab hanya Dr Mahathir saja. Kalau biar Mukhriz (memimpin), dah lama hanyut.

“Bersatu tidak ada pemimpin lain, yang lain tak kuat, Mukhriz tidak kuat, Muhyiddin jauh lagi. Saya tak tahu kenapa rakyat beri kepercayaan kepada Bersatu kerana emosi, kerana marah dengan BN,” katanya.

Dr Mahathir meninggalkan Umno pada 29 Februari 2016 dan menubuhkan Bersatu.

Beliau kerap mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak terutama mengenai 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

Dr Mahathir kini mengetuai parti Bersatu bersama anaknya Mukhriz dan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan diumumkan sebagai calon perdana menteri jika gabungan parti pembangkang menang dalam pilihan raya.

Shaiful berkata kelemahan Bersatu mahupun PH mereka tidak mempunyai jentera setelah PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.

“Dahulu pertembungan sebenar BN di Kedah adalah PAS, tak pernah (kerana) PKR dan DAP. Sebelum ini jentera Pakatan Rakyat banyak bergantung kepada PAS.

“Jadi pilihan raya kali ini agak menarik bagaimana Pakatan Harapan akan bergerak tanpa jentera mereka.”

Pertarungan BN dan Bersatu

Sebelum ini, Dr Mahathir yang berusia 93 tahun itu mengakui mengintai tiga kawasan Parlimen iaitu Kubang Pasu, Langkawi dan Putrajaya untuk bertanding dalam PRU14.

Penganalisa politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata amat sukar untuk BN menafikan pengaruh Dr Mahathir dan anaknya Mukhriz di Kedah.

“Peluang BN di Kedah banyak bergantung kepada pemilihan dan tahap persediaan parti. Sebabnya, sudah pasti Kedah akan menjadi tumpuan memandangkan dua tokoh (Bersatu) datangnya dari Kedah.

“Dr Mahathir dan anaknya, tidak boleh katakan seolah-olah tidak ada pengaruh. Amat mustahil kerana Mukhriz pengalamannya selama dua tahun menjadi menteri besar dan Dr Mahahtir melangkaui 22 tahun sumbangannya di Kedah dan pengaruhnya masih ada,” kata penganlisa politik daripada Universiti Sains Malaysia itu.

Tambahnya, dakwaan bahawa BN melihat PRU14 sebagai peluang keemasan buat mereka menamatkan pengaruh Bersatu hanya bergantung sekiranya parti tersebut menang dengan majoriti besar.

“Andai kata mereka mampu untuk menang, kalau mereka yakin menang besar sudah pasti akan beri kesan pada parti yang kalah, kita tidak boleh nafikan sebab (akan) ada impaknya.

“Namun ia bergantung juga, sebagai contoh PKR mereka tidak menang banyak masa pilihan raya 1999 tapi selepas itu mereka mampu bersaing semula.

“Tapi situasi berbeza kalau kita tengok semasa Semangat 46 selepas satu pilihan raya mereka kalah dan masuk balik Umno, jadi situasi ini bergantung (kepada banyak faktor).”

Dr Mahathir Mohamad selaku anak jati Kedah dan pemimpin yang sering menerima kredit pembangunan Kedah terutama di Langkawi akan berdepan pertembungan hebat PRU14 di negeri Jelapang padi itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2018.

Atas kertas, BN akan menang pertandingan tiga penjuru

Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan BN memegang 21 kerusi, 8 (PAS), 2 (DAP), 1 (Amanah).

Negeri itu juga mempunyai 15 kerusi Parlimen, BN berkuasa di 10, PKR (4) dan PAS (1).

Bersatu telah diberikan kepercayaan oleh PH untuk memimpin Kedah dan Mukhriz mengetuai barisan kepimpinan gabungan pembangkang negeri tersebut.

PH juga mengumumkan dalam PRU14 nanti, Bersatu akan bertanding di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN.

Ahli Parlimen Langkawi Nawawi Ahmad turut menyatakan keyakinan BN dapat mempertahankan kemenangan di Kedah berdasarkan perpecahan undi pengundi.

“Kekuatan di negeri Kedah ini tumpuannya ialah pengundi Melayu, Cina dan India bukan majoriti dan mereka cuma (majoriti) di beberapa kawasan seperti di Alor Setar, Sg Petani, Kulim dan Selambau.

“DUN lain semua majoriti Melayu, dulunya undi berpecah dua, satu (untuk) PAS, dan (satu lagi untuk)Umno. Tetapi sekarang pecah lagi tiga undi, (untuk) Bersatu tapi kalau suasana politik goyah, memang PAS akan menang sendiri daripada Pakatan, jadi BN tidak terjejas.” katanya.

BN tidak tolak pengaruh Dr Mahathir

Bagaimanapun BN tidak menolak pengaruh Dr Mahathir dan Bersatu di Kedah yang telah memberi kesan kepada parti pemerintah di negeri itu.

Namun katanya, kesan tersebut telah berkurangan dan kepimpinan Umno Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar Ahmad Bashah Md Hanifah kini bersedia mempertahankan negeri tersebut.

“Tetapi dari segi kepimpinan baru ada banyak perubahan dibuat dari segi kepimpinan negeri, polisi negeri, dan semangat orang Umno untuk menghadapi PRU14 kita dalam semangat terbaik.

“Tapi saya tak nafikan ia tugas mencabar, sebab Kedah ini merupakan gelanggang pertarungan sebenar disebabkan Bersatu ada pengaruh sedikit di Kedah.

Dr Mahathir dahulu sangat berbeza sekarang, dan kerana itu pengaruhnya tidak besar, kata Ketua Wanita Umno Bahagian Pendang, Suraya Yaakob. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2018.

Beliau turut menyampaikan mesej kepada ahli Umno yang didakwanya ada menyokong Dr Mahathir dalam diam.

“Pesanan saya kalau ada perasaan belah bahagi, 50-50 pilihlah pihak anda, Umno tidak boleh nak berdepan dengan orang tak setia. Pimpinan parti perlukan barisan tentera yang padu untuk melawan pertempuran sangat genting ini (PRU14.)

Ketua Wanita Umno Bahagian Pendang, Suraya Yaakob pula tidak percaya pengaruh Dr Mahathir begitu besar daripada pengaruh BN.

“Saya tidak fikir pengaruh Dr Mahathir begitu besar sekarang. Kerana Dr Mahathir semasa jadi perdana menteri dulu dengan sekarang adalah berbeza.

“Ramai orang muda tidak kenal Dr Mahathir. Dulu masa beliau jadi perdana menteri tidak macam sekarang turun jumpa rakyat, memang betul beliau merupakan pemimpin ikonik tapi pendekatan dengan zaman beliau jadi perdana menteri dan sekarang amat berbeza,” katanya yang juga merupakan Adun Sungai Tiang. – 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • jgn lupa utk sedia utk kalah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • sudah pasti UMNO kedah akan terus berkuasa malah akan terus lenyapkan pengaruh PPBM di kedah..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • sudah pasti UMNO kedah akan terus berkuasa malah akan terus lenyapkan pengaruh PPBM di kedah..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • Ketua Pemuda Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin,...mmg hang ckp yakin.. tapi semua yg dpt dedak ...
    Yg NAWAWI ...yg prnah ckp MO1 tu DYMM AGONG ...korang ni ....

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ramamurthi ram · Ulasan

  • Poorah..... komen utk sedapkan diri sendiri. Kita tengok sape yg kena nanti....

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Emir Khairil Ahmad · Ulasan

  • Jangan terlalu yakin...nanti apa yang berlaku adalah Dr M yang mengakhirkan riwayat hidup politik Umno...bagaimana?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ss Lee · Ulasan