BN rampas Kedah bukan kerana Mukhriz, kata Umno


Diyana Ibrahim Muzliza Mustafa

Umno berjaya merampas Kedah dari PAS kerana Ahmad Bashah yang telah berkorban demi menyelamatkan parti, kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Shaiful Hazizy. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Februari, 2018.

UMNO Kedah berjaya merampas negeri Jelapang Padi itu daripada PAS bukan kerana Mukhriz Mahathir tetapi kesan gerak kerja yang diketuai Ahmad Bashah Md Hanipah, kata pemimpin Umno negeri itu.

Dakwaan Umno Kedah disebabkan faktor Mukhriz adalah persepsi umum yang amat salah, kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Shaiful Hazizy.

“Pada waktu itu kita kena ingat satu perkara bahawa pengerusi perhubungan Umno ketika zaman kalah bukan Mukhriz tapi Ahmad Bashah. Pemimpin ini telah berkorban demi menyelamatkan parti.

“Patutnya apabila negeri menang dia minta piala dia (jawatan). Tapi kerana berjiwa besar kepada parti, dia bagi jawatan menteri besar yang patut dia punya kepada Mukhriz,” kata Shaiful kepada Malaysian Insight.

Shaiful menjawab soalan apakah faktor Mukhriz, yang kini memimpin Bersatu di Kedah selepas dipecat dari Umno, akan sekali lagi jadi penentu pada PRU14 nanti.

Faktor Ahmad Bashah

Ahmad Bashah mengambil alih jawatan memimpin Umno Kedah daripada Shafie Apdal sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selepas BN dan Umno kalah pada pilihan raya 2008, Shafie yang ketika itu naib presiden Umno diberi tugas mulai April 2009 memulihkan Umno Kedah, dengan Ahmad Bashah diberi tanggungjawab membantu sebagai timbalan pengerusi.

Ahmad Bashah kemudian dilantik sebagai pengerusi Umno Kedah dan Pengerusi BN negeri pada 1 Januari 2011, manakala Mukhriz sebagai timbalannya.

Shaiful yang juga setiausaha politik Ahmad Bashah berkata BN berjaya merampas semula Kedah pada PRU13 selepas mengambil iktibar daripada kekalahan pada 2008 dengan menggandakan usaha mendapatkan sokongan rakyat.

Selepas BN dan Umno kalah pada pilihan raya 2008, Shafie Apdal yang ketika itu naib presiden Umno diberi tugas mulai April 2009 memulihkan Umno Kedah, dengan Ahmad Bashah diberi tanggungjawab membantu sebagai timbalan pengerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2018.

“Semasa kita kalah, Umno bekerja dengan keadaan paling kuat. Kita tahu, kita boleh rasa, kita buat pemeriksaan berlapis-lapis , gerakan kita berjumpa pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan.

“Kita dedahkan kelemahan kerajaan negeri (PAS). Pada waktu itu kita berkumpul, arahkan jentera. Semua ini berlaku kerana kita mempunyai kepimpinan yang amat kuat. Saya tidak rasa ia kerana faktor Mukhriz.

“Saya tepis bulat-bulat kenyataan tidak masuk akal bahawa kemenangan Umno Kedah kerana faktor Mukhriz. Ia bukan kerana faktor Mukhriz,” katanya merujuk kepada bekas menteri besar tersebut.

Pada PRU13, BN menguasai 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PAS 9, DAP 2 dan PKR 4. Pada peringkat Parlimen, BN menang 10 daripada 15 kerusi manakala PKR 4 dan PAS 1.

Penganalisis politik ketika itu melihat kemenangan besar BN hasil percaturan parti pemerintah itu menamakan Mukhriz sebagai calon menteri besar jika menang pilihan raya tersebut, yang diumumkan oleh pengerusi gabungan itu, Najib Razak sehari sebelum pilihan raya.

Mukhriz tidak popular dengan akar umbi Umno

Menurut Shaiful, Mukhriz sebenarnya bukanlah popular dalam kalangan akar umbi Umno di Kedah walaupun bekas menteri besar itu popular dalam kalangan rakyat.

Katanya, kemuncak pergeseran antara Mukhriz dan akar umbi Umno Kedah itu membawa kepada krisis dalaman pada 2016 sehingga beliau tersingkir dan digantikan oleh Ahmad Bashah sebagai menteri besar.

“Mukhriz gagal menyatupadukan Umno di bahagian dan cawangan,” katanya, yang mendakwa Mukhriz tidak berpengalaman dan tidak layak menerajui Umno negeri itu pada masa tersebut.

Mukhriz jadi menteri besar Kedah antara 2013 hingga 2016. Beliau bagaimanapun didesak oleh pimpinan Umno negeri untuk letak jawatan selepas ayahnya, Dr Mahathir Mohamad lantang menyerang Najib bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mukhriz Mahathir gagal menyatupadukan Umno di bahagian dan cawangan, kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Shaiful Hazizy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2018.

Kemuncaknya, pada Januari 2016, Ahmad Bashah mengetuai pemimpin Umno Kedah secara terbuka mengumumkan hilang percaya kepada kepimpinan Mukhriz.

Menjelang PRU14 ini, Shaiful berkata Umno sedar bahawa Mukhriz ada pengaruh dalam kalangan anak muda namun BN tidak melihatnya sebagai ancaman.

“Lagi pun sekarang ini secara dasarnya siapa yang ambil pendekatan ‘anti establish’ populariti mereka meningkat naik. Ia perkara biasa, tidak ada apa yang kita takut,” katanya.

“Yang patut takut sebenarnya Mukhriz kerana kita hendak sangat tengok beliau kalah,” tambah beliau.

Penganalisis politik bagaimanapun berpendapat agak sukar untuk BN dan Umno menafikan pengaruh Mukhriz dan bapanya Dr Mahathir pada PRU14 ini nanti. – 17 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • perjuangan mukhriz yg mementingkan diri terserlah apabila beliau keluar dari Umno.sebenarnya mukhriz yg caras kedudukan ahmad bashah yg sepatutnya diletakkan sbg MB kedah, bukan sebaliknya

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Hebat mat laloq kah kah kah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan