KEMUSNAHAN alam sekitar dan pembangunan berlebihan adalah faktor utama banjir kilat berulang di Lembah Klang, kata pakar sambil memberi amaran kejadian sama akan kerap berlaku.
Mereka berkata ditambah dengan perubahan drastik iklim global ketika ini kawasan ibu kota dan sekitarnya akan ditenggelami air dengan lebih kerap.
Tambah mereka, pembangunan kolam takungan air di Lembah Klang turut menyumbang kepada banjir baru-baru ini.
Bekas ketua pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia Salmah Zakaria berkata pembangunan lembangan Sungai Klang sangat padat sehinggakan sebahagian besar kawasan itu diturap sama ada menggunakan konkrit atau tar.
Katanya, ini meningkatkan aliran air atas tanah apabila hujan.
Salmah mengulas mengenai kejadian banjir kilat yang melanda ibu kota dan kawasan sekitarnya baru-baru ini.
Selepas kejadian banjir kilat terburuk melanda Malaysia pada Disember di sebahagian besar Lembah Klang, Kuala Lumpur mengalami tiga lagi banjir dalam tempoh beberapa bulan berturut-turut pada 7 Mac, 25 April dan 25 Mei.

Banjir itu mengakibatkan kerugian besar ke atas perniagaan, harta benda dan kenderaan.
“Sebelum urbanisasi, air hujan dipintas tumbuh-tumbuhan. Air akan menyusup ke dalam tanah dan mengambil masa untuk pergi ke sungai,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Selepas pembandaran wujud, air hujan terkumpul dengan pantas dari bumbung dan kawasan berturap lain, mengalir ke longkang yang membawanya ke sungai terdekat.
“Jika anda lihat imej satelit lembangan Sungai Klang, kawasan itu berturap sepenuhnya. Anda boleh mengalami banjir kilat dalam tempoh satu jam selepas hujan lebat.”
Terdapat 48 kejadian banjir kilat di Lembah Klang antara 2015 dan 2020. Terdapat lima pada 2017, dan 13 pada 2020, peningkatan hampir tiga kali ganda.
Lembangan Sungai Klang terdiri daripada tujuh sungai – Sungai Ampang, Sungai Batu, Sungai Damansara, Sungai Gombak, Sungai Kayu Ara, Sungai Kerayong dan Sungai Klang.
Berikutan banjir yang kerap berlaku, status enam daripada 15 kolam tadahan air di ibu negara menjadi tanda tanya selepas laporan ketua juruaudit mendapati kolam itu diluluskan untuk projek pembangunan.
Enam kolam tadahan air itu ialah Batu, Batu 4 ½, Delima, Nanyang, Taman Desa dan Taman Wahyu.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia Shariffa Sabrina Syed Akil berkata Malaysia harus belajar bagaimana untuk mengurangkan banjir daripada negara jiran Singapura.
“Hujan sepanjang tahun di Malaysia. Kita perlu ingat kita bina apa saja, tetapi kita tidak pernah menaik taraf sistem perparitan. Pokok di bandar juga tidak mencukupi,” kata Shariffa.
“Lihat di Singapura, mereka membina, tetapi mereka juga menanam banyak pokok. Kerajaan negara tersebut tidak menimbus tasik.
“Mereka menebus tanah, tetapi apa yang mereka bina semula? Hutan, jadi ia akan menyerap air apabila hujan.
“Kita membina pusat membeli-belah, kondominium dan kawasan perindustrian. Tidak ada tempat untuk air mengalir; semua tasik dan kolam tadahan air ditimbus.
“Jadi ke mana anda mengharapkan air mengalir?” – 29 Mei, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen