Sukar pulih semula, kata pemilik perniagaan terjejas banjir


Alfian Z.M. Tahir

Tinjauan The Malaysian Insight menunjukkan setiap lot kedai di Sri Muda dilitupi lumpur tebal dan kedai-kedai itu hampir tidak dapat dikenali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember 2021.

PEMILIK perniagaan di Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat mungkin sukar bernafas semula selepas mengalami kerugian ratusan ribu ringgit minggu lalu akibat bencana banjir.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berkata semua kerja keras dan usaha mereka untuk membina perniagaan hanyut dalam masa kurang 24 jam.

Tinjauan menunjukkan setiap lot kedai di Sri Muda dilitupi lumpur tebal dan kedai-kedai itu hampir tidak dapat dikenali.

Seorang mekanik yang memperkenalkan dirinya sebagai Abang Rahim berkata dia memerlukan lebih RM100,000 untuk membaiki kedainya dan menggantikan alat ganti yang hilang akibat banjir.

Katanya, kerja pembersihan lebih sukar kerana minyak di kedainya bercampur air banjir menyukarkan pembersihan.

“Seperti anda lihat, semua usaha saya sejak 2007 kini sudah tiada. Motosikal yang saya baiki, motosikal terpakai yang saya jual, alat ganti seperti minyak motor, tayar, rim dan bahagian badan semuanya mesti ditukar baharu.

“Mungkin beberapa barang kecil boleh digunakan semula tetapi perlu dicuci,” katanya.

Bagaimanapun, katanya motosikal terpakai miliknya tidak boleh dijual kerana ia rosak sama sekali akibat banjir.

Rahim masih membersihkan bengkelnya ketika ditemui pada Jumaat.

“Saya rasa saya memerlukan lebih daripada seminggu untuk membersih dan menyusun semula semua barangan.

“Kami hanya berempat dan prosesnya memenatkan. Lumpurnya sangat tebal sehingga perlu menggunakan seluruh tenaga untuk mencedoknya,” tambahnya.

Ditanya sama ada terdapat sukarelawan membantunya, Rahim yang berasal dari Johor berkata, tiada sesiapa yang tampil menghulurkan bantuan walaupun membaca banyak kumpulan sukarelawan menghulurkan bantuan untuk membantu mangsa banjir.

“Setiap pemilik kedai di sini membersihkan kedai mereka sendiri. Tiada kumpulan yang datang membantu kami di sini,” katanya.

Dalam pada itu, sebuah kedai perkakasan berusia 47 tahun bersebelahan bengkel Rahim turut menerima nasib yang sama.

Pemiliknya Melissa, berkata dia mungkin memerlukan RM300,000 untuk membina semula perniagaannya.

Ditanya mengenai proses pembersihan, Melissa menjelaskan dia mungkin memerlukan masa sebulan untuk beroperasi semula.

“Sesetengah barangan seperti skru dan nat boleh digunakan semula tetapi terdapat banyak peralatan lain yang tidak boleh digunakan lagi.

“Pada asasnya ia adalah satu kerugian. Kedai saya, barangan saya, semuanya perlu bermula dari bawah semula,” katanya.

Melissa berkata dia perlu mengupah beberapa orang untuk membantunya dalam proses pembersihan.

“Saya terpaksa membayar mereka RM100 sehari sedangkan saya juga kerugian ratusan ribu akibat banjir.

“Bahagian pembersihan adalah yang paling sukar. Semua perlu dibersihkan. Lantai, rak-rak, paip PVC, paip logam, papan lapis. Ada banyak barang,” keluhnya.

Seperti Rahim, Melissa berkata tiada sukarelawan datang menghulurkan bantuan.

“Saya tidak tahu mengapa tiada NGO yang berminat untuk datang ke sini. Bekalan makanan pun sudah terhenti. Kami terpaksa memikirkan sendiri,” katanya.

Sri Muda adalah antara kawasan paling teruk dinaiki air di Selangor minggu lalu.

Ribuan penduduk hilang tempat tinggal semalaman dalam salah satu bencana terburuk di negeri itu sejak beberapa dekad.

Sementara itu, seorang pemandu bas kilang yang ingin dikenali sebagai Ramesh berkata dia mungkin memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 untuk membaiki basnya kerana itu merupakan satu-satunya sumber pendapatannya.

Bas Ramesh berlumuran lumpur dan enjinnya tidak dapat dihidupkan.

“Dalamnya macam zon bencana. Tempat duduk semua rosak. Beberapa panel tingkap pecah. Saya rasa penghawa dingin perlu dibaik pulih termasuk enjin.

“Saya anggarkan kosnya sekurang-kurangnya tidak kurang RM30,000.” – 27 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen