Sistem parit KL akan direka semula tangani banjir, kata Shahidan


Noel Achariam

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik perunding untuk mereka bentuk semula sistem perparitan di ibu negara bagi menangani masalah banjir, kata Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.

Beliau berkata, perunding tersebut akan mengkaji untuk merombak parit dan longkang di sekitar Kuala Lumpur untuk aliran air yang lebih baik.

“Ini bagi meningkatkan keupayaan parit menampung air hujan berdasarkan kala purata ulangan (ARI) 200 (reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI).

“Perunding diminta siapkan kajian dalam 12 bulan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini semasa menjawab isu dibangkitkan ahli Parlimen semasa usul tergempar membahas banjir di Kuala Lumpur Isnin lepas.

Shahidan (BN-Arau) menafikan dakwaan Fong Kui Lung (PH-Bukit Bintang) yang bertanya sama ada DBKL gagal menguruskan pembersihan sungai dan parit secara berkala selepas banjir pada hujung 2021.

Fong dan ahli Parlimen pembangkang lain menggesa pihak berkuasa memberi penjelasan mengenai banjir kilat yang melanda bandar itu pada Isnin.

Awal hari ini, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun membenarkan usul khas oleh Fong bagi membincangkan banjir kilat di Kuala Lumpur pada Isnin.

Semasa perbahasan, Fong berkata membangkitkan isu banjir di Dewan Rakyat sudah menjadi perkara tahunan.

“Saya sudah banyak kali bangkitkan isu ini. Waktu banjir Isnin lepas, beratus-ratus kenderaan terperangkap dan ramai terpaksa dipindahkan dari rumah mereka.

“Sistem perparitan tidak memuaskan, sampah tidak dibersihkan yang menyebabkan banjir.”

Katanya, kerajaan telah menaik taraf sistem perparitan tetapi banjir terus berulang.

“Kuala Lumpur sepatutnya bebas daripada banjir kilat. Jelas sekali, kita tidak ada perancangan betul untuk bebaskan KL daripada banjir kilat.”

Ahli Parlimen turut mempersoalkan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai tindakan yang telah diambil sejak banjir pada Disember.

Tahun lepas, hujan lebat sebelum dan pada hujung minggu 17-18 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Banjir tersebut menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal pada kemuncaknya dan mengorbankan 54 nyawa. Selangor antara negeri paling teruk dilanda banjir.

Ketika membahaskan usul itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berkata warga kota kini sudah fobia berikutan banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas.

“Setiap kali banjir harta benda orang ramai rosak dan tanggung rugi besar. Mana laporan bedah siasat apa yang berlaku?

“Kami juga mahukan laporan mengenai jumlah dana yang telah kerajaan berikan untuk mangsa banjir.”

Fahmi juga gesa Putrajaya benarkan ahli Parlimen terbabit dalam agensi yang ditugaskan mengendalikan banjir.

“Ketepikan politik. Libatkan semua ahli Parlimen, jadi kami juga boleh tolong.”

Mengenai banjir pada Isnin, Shahidan juga berkata ia bukan berpunca daripada kegagalan fungsi enam kolam takungan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kolam tersebut berfungsi dengan kapasiti yang mencukupi untuk menampung air hujan dan telah beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh JPS bahawa kolam tadahan di Sg. Bunus didapati tidak dapat menampung air hujan yang melebihi kapasitinya.

“Ini telah menyebabkan air melimpah dari kolam ini ke kawasan sekitar.”

Tambah Shahidan, JPS sedang melaksanakan projek tebatan banjir di Pulapol di Jalan Semarak selain membina tembok penahan banjir di kawasan yang dikenal pasti bagi mengelak limpahan air dari Takungan Banjir Boyan daripada berulang. – 9 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen