KUALA LUMPUR masih perlukan strategi tebatan banjir menyeluruh terutamanya di bahagian barat laut ibu negara kerana Terowong Smart sedia ada hanya dapat alihkan air banjir dari kawasan terhad, kata pengendali Smart Highway hari ini.
Katanya banjir kilat di Kuchai Lama dan Jalan Klang Lama pada 7 Mac lepas merupakan kawasan yang tidak berada dalam kawasan liputan sistem pengurangan banjir Terowong Smart.
“Kawasan yang terjejas teruk di Kuala Lumpur pada 7 Mac disebabkan dua faktor penyumbang ini, iaitu kapasiti tampung yang tidak mencukupi di sungai terutamanya Sungai Kerayong, Sungai Bunus dan Sungai Kuyoh, yang berada di luar zon pengurangan banjir Terowong Smart, serta hujan lebat memenuhi rangkaian saliran setempat,” kata syarikat itu.
Ia juga berkongsi peta yang menunjukkan kawasan liputan terowong dan kawasan di mana banjir kilat berlaku yang berada di luar kawasan perkhidmatan terowong. (Lihat peta).

Smart, yang bermaksud Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir, mengurangkan masalah banjir di kawasan tadahan tertentu di sepanjang sungai Klang yang melalui pusat bandar Kuala Lumpur. Kawasan ini termasuk Dataran Merdeka.
Kuchai Lama dan Jalan Klang Lama, bagaimanapun, terletak lebih jauh dari pusat bandar dan jauh dari zon liputan terowong.
“Hujan lebat yang direkodkan pada petang 7 Mac disifatkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai
purata hujan setengah bulan dalam dua jam’.
“Tahap hujan ini menyamai kejadian ‘satu dalam 100 tahun’ di beberapa kawasan seperti tadahan Sungai Kerayong, mengakibatkan banjir kilat di kawasan sekitar seperti Kuchai Lama dan Jalan Klang Lama,” kata syarikat itu.
Ia juga menyatakan air banjir di sekitar Masjid Jamek, titik temu sungai Gombak dan sungai Klang, datang dari sungai Gombak, Keroh dan Batu di hulu dan kawasan itu lebiih banyak menyumbang banjir berbanding dari sungai Klang.
Oleh itu, Smart Highway menggesa penyelesaian tebatan banjir holistik meliputi bahagian Kuala Lumpur yang terletak dalam kawasan tadahan yang tidak disediakan oleh Terowong Smart. – 10 Mac, 2022.
Komen