PBB gesa Rusia henti sekat eskport Ukraine


Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata pencerobohan Rusia ke atas Ukraine memburukkan lagi isu keselamatan makanan global yang sudahpun terjejas akibat perubahan iklim dan pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 19 Mei, 2022.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran mengenai krisis makanan dan kebuluran besar-besaran selama bertahun-tahun jika Rusia terus menyekat eksport bijirin dari Ukraine di pelabuhan di Laut Hitam.

Berucap pada sidang kemuncak PBB di New York pada Rabu, Guterres berkata pencerobohan Rusia ke atas Ukraine memburukkan lagi isu keselamatan makanan global yang sudahpun terjejas akibat perubahan iklim dan pandemik Covid-19.

Dalam tempoh hanya dua tahun, seramai 276 juta orang mengalami krisis makanan berbanding 135 juta sebelum pandemik, katanya.

Manakala lebih setengah juta orang mengalami kebuluran, iaitu peningkatan lebih 500% sejak 2016, tambah Guterres.

“Perang di Ukraine memburukkan lagi situasi yang telah sedia terjejas akibat perubahan iklim, Covid-19 dan ketaksamaan.

“Perang ini mengancam nyawa puluhan juta orang, boleh membawa kepada kebuluran besar-besaran dan krisis yang berlarutan selama bertahun-tahun,” katanya pada mesyuarat mengenai krisis makanan yang dipengerusikan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken.

Sebelum pencerobohan Rusia pada Februari, Ukraine mengeksport 4.5 juta tan hasil pertanian iaitu gandum, jagung dan minyak bunga matahari melalui pelabuhannya di Laut Hitam setiap bulan.

Tindakan Russia menyekat semua pelabuhan di Laut Hitam termasuk Odessa dan Chornomorsk menyebabkan bekalan hanya boleh melalui jalan darat yang kurang cekap. – AFP, 19 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen