Keputusan kes rasuah projek solar hibrid Rosmah 7 Julai


Ravin Palanisamy

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor berdepan dakwaan meminta dan menerima rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan menyampaikan keputusannya mengenai perbicaraan rasuah Rosmah Mansor berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak pada 7 Julai.

“Kita sudah sampai ke penghujung jalan. Masa untuk melengkapkan perjalanan.

“Saya bercadang untuk mengambil masa dua bulan mulai hari ini dan saya bercadang untuk membuat penghakiman bertulis penuh saya pada 7 Julai apabila saya menyampaikan keputusan saya,” kata Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Zaini berkata beliau akan menyampaikan keputusannya pada pukul 9 pagi pada tarikh tersebut.

Perbicaraan Rosmah bermula pada Februari 2020. Mahkamah memuktamadkan perbicaraan pada 23 Februari tahun ini, selepas 42 hari perbicaraan.

Sebanyak 23 pihak pendakwaan dan dua saksi pembelaan, termasuk Rosmah sendiri, memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan dan pembelaan sejak perbicaraan bermula.

Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dan pembantu Rosmah Rizal Mansor adalah sebahagian daripada 23 saksi pendakwaan.

Pihak pendakwaan dan pembelaan dijadual membentangkan hujahan mereka pada 5 April, namun ditangguhkan ke hari ini selepas pihak pendakwaan meminta lebih masa untuk menyediakan penghujahan tambahan.

Awal hari ini, ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram menyerahkan dua undang-undang kes tambahan terbaru sebagai kebenaran daripada pihak pendakwaan.

Sementara itu, peguam bela Akberdin Abdul Kader berkata beliau baru menerima kedua-dua undang-undang kes pagi ini dan meminta lebih masa untuk menjawab.

Hakim Zaini membenarkan tambahan masa yang diperlukan pembelaan dan meminta mereka mengemukakan jawapan melalui penghujahan bertulis.

“Jangan risau, saya pasti akan meneliti penghujahan. Saya telah pun meneliti penghujahan awal anda sekurang-kurangnya sekali dan saya akan menelitinya lagi. Saya berjanji bahawa anda akan menjadi yang terakhir,” katanya.

Rosmah menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, bagi membantu mendapatkan kontrak kerajaan bernilai bilion ringgit untuk melengkapkan sekolah luar bandar di Sarawak dengan peralatan solar.

Rasuah itu didakwa diterima melalui Rizal sebagai dorongan dan ganjaran kerana membantu Jepak Holdings memperoleh kontrak bernilai RM1.25 bilion bagi projek bersepadu sistem solar hibrid dan penyelenggaraan dan pengendalian set penjana diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak. – 12 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen