Rosmah nafi suaranya dalam rakaman audio


Ravin Palanisamy

Semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Rosmah Mansor menafikan suara dalam rakaman 'Can I advise you something?'miliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

RAKAMAN audio “Can I advise you something?” yang didakwa mirip suara Rosmah Mansor disifatkan sebagai mengarut oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Rakaman dimainkan pendakwaan pada perbicaraan kes rasuah projek tenaga solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak yang dihadapi Rosmah.

Semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram, Rosmah menafikan suara dalam rakaman itu adalah suaranya dan Najib,malah menegaskan beliau tidak masuk campur urusan suaminya melantik pegawai kerajaan.

Rakaman audio tersebut antara siri rakaman yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari tahun lalu, dipercayai konspirasi peringkat tertinggi berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib, Rosmah, pegawai kanan kerajaan dan beberapa individu lain termasuk dari Emiriah Arab Bersatu.

Rakaman itu sebelum ini dimainkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa perbicaraan kes rasuah Rosmah pada Februari tahun lalu. 

Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid yang dipanggil sebagai saksi kelima pendakwaan ketika itu mengenal pasti suara dalam rakaman milik Najib dan isterinya Rosmah.

Semasa disoal balas hari ini, Rosmah menafikan sekeras-kerasnya apabila pendakwaan berkata suara itu miliknya.

Sri Ram: Boleh anda sahkan suara dalam rakaman audio itu milik anda dan suami?

Rosmah: Tidak. Saya tak boleh sahkan. Tiada bukti saintifik.

Sri Ram: Beberapa orang saksi telah sahkan suara itu milik anda dan suami.

Rosmah: Awak percaya?

Sri Ram: Jangan soal saya, saya yang bertanya kepada anda, dan anda kena jawab. Jangan bertengkar dengan saya. Kalau anda mahu bertengkar dengan saya, saya akan minta mahkamah keluarkan arahan terhadap anda.

Rosmah: Saya bukan nak bertengkar tapi janganlah jerit-jerit pada saya. Saya tak biasa orang jerit-jerit pada saya.

Sri Ram: Saya katakan bahawa suara itu adalah suara anda.

Rosmah: Saya tidak setuju. – 23 Disember, 2021.   

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen