Rosmah bertegas dakwa diperangkap Rizal, pendakwaan


Ravin Palanisamy

Bekas isteri perdana menteri Rosmah Mansor berkata tuduhan rasuah yang dibuat terhadapnya adalah konspirasi antara pihak pendakwaan dan saksi termasuk bekas pembantunya Rizal Mansor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Oktober, 2021.

ROSMAH Mansor memberitahu mahkamah hari ini tuduhan rasuah yang dibuat terhadapnya adalah konspirasi antara pihak pendakwaan dan saksi termasuk bekas pembantunya Rizal Mansor yang disifatkannya sebagai “tidak cekap”.

Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beberapa saksi yang disebutkan dalam keterangannya bersekongkol dengan pihak pendakwaan untuk memerangkapnya dalam pemberian projek hibrid suria bernilai RM1.2 bilion kepada Jepak Holding Sdn Bhd.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan perincian tentang bagaimana mereka bersekongkol ketika disoal oleh peguam Gopal Sri Ram.

Saksi berkenaan adalah bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamad dan penggantinya Alias Ahmad, Pengarah Urusan Jepak Holding Saidi Abang Samsudin dan Rizal, bekas pembantunya. 

Ketika ditanya oleh Sri Ram sama ada beliau bertengkar atau tidak bersetuju dengan saksi, Rosmah mengatakan tidak. 

Ditanya mengenai motif saksi ini mungkin mahu membuat kenyataan palsu untuk memerangkapnya, beliau menjawab pihak pendakwaan perlu mengajukan pertanyaan itu kepada saksi.

Peguam bela Akberdin Abdul Kader kemudian berkata pertanyaan Sri Ram tidak adil.

Akberdin berkata Rosmah perlu menjawab pertanyaan yang tidak diketahui olehnya dan soalan Sri Ram adalah pendapat.

Sri Ram kemudian memanggil lapan pasukan pendakwaan dan bertanya kepada Rosmah adakah dia pernah berselisih faham dengan salah seorang daripada mereka. Dia menjawab tidak. – 7 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen