Bicara kes rasuah Rosmah tangguh, peguam positif Covid-19


Rosmah Mansor dituduh atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2022.

MAHKAMAH Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan rasuah yang dihadapi Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas peguamnya Akberdin Abdul Kader disahkan positif Covid-19.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram memaklumkan hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa, bukan Akberdin sahaja yang dijangkiti Covid-19, malah dua lagi anggota pasukan pembelaan iaitu Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork merupakan kontak rapat dengan Akberdin dan mereka perlu dikuarantin.

Hakim Mohamed Zaini memaklumkan bahawa mahkamah juga menerima surat daripada firma guaman Jagjit menyatakan Akberdin dijangkiti Covid-19.

“Saya difahamkan beliau (Akberdin) didiagnosis pada 12 Februari. Malang mendengar perkhabaran itu. Saya doakan beliau sihat,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya menangguhkan prosiding hari ini dan perbicaraan akan disambung semula pada 23 Februari.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk hari terakhir perbicaraan pembelaan dengan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, Siti Azizah Sheikh Abod juga sepatutnya disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa permohonan telah difailkan untuk saksi utama dalam kes itu, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Pada 18 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Sistem Hibrid Solar Photovoltaic (PV) Bersepadu serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – Bernama, 15 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen