Warga emas disaran ambil dos penggalak kedua


Ravin Palanisamy

Warga emas berusia 60 tahun ke atas boleh mengambil dos penggalak kedua sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas dos penggalak pertama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2022.

WARGA emas berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi dinasihatkan mengambil suntikan dos penggalak Covid-19 kedua menjelang musim perayaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Dr Anas Alam Faizli hari ini.

Beliau berkata mereka dalam kumpulan umur tersebut yang mempunyai komorbiditi dianggap berisiko tinggi dan terdedah kepada jangkitan Covid-19 yang teruk.

Justeru, beliau menggesa mereka mengambil dos vaksin keempat bagi memastikan perlindungan optimum.

“Memandangkan perayaan Hari Raya, saya amat menasihati individu berisiko tinggi untuk mendapatkan perlindungan diri yang lebih baik daripada virus Covid-19 dengan mendapatkan vaksin dos penggalak kedua mereka,” kata Anas dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata rakyat berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi kini boleh mengambil suntikan penggalak Covid-19 kedua.

Beliau berkata dos penggalak kedua tidak akan diwajibkan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) menyemak kajian saintifik serta kajian kohort Malaysia yang menunjukkan individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi seperti penyakit paru-paru, jantung, buah pinggang dan hati serta diabetes berisiko tinggi mendapat simptom serius dan kematian akibat Covid-19.

Bagi yang berumur di atas 60 tahun dan sihat juga boleh memilih dos penggalak kedua mereka, tetapi perlu berbincang dengan pengamal perubatan terlebih dahulu, tambah Khairy.

Sementara itu, menteri kesihatan juga berkata remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, yang mengalami gangguan imun yang sederhana atau teruk, kini boleh mengambil dos penggalak pertama mereka, sambil menambah ia juga tidak akan diwajibkan.

Kumpulan berusia 60 tahun ke atas boleh mengambil dos penggalak kedua sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas dos penggalak pertama, manakala bagi remaja boleh mendapatakan dos penggalak pertama  sekurang-kurangnya 28 hari selepas lengkap dos vaksin kedua.

Warga emas yang lengkap vaksinasi utama dan penggalak pertama tetapi dijangkiti Covid-19 boleh memohon penggalak kedua selepas tiga bulan pulih daripada virus itu.

Vaksin yang akan digunakan untuk penggalak kedua ialah Pfizer-BioNTech (mRNA corminaty).

Anas mengalu-alukan perkembangan terbaharu itu dan berkata langkah kerajaan itu adalah untuk memastikan perlindungan optimum bagi golongan berisiko.

“Ketika kita beralih kepada endemik, adalah sangat penting untuk terus melindungi penduduk kita yang paling berisiko dan ini adalah salah satu usaha,” katanya.

Sehingga 14 April, sejumlah 15.9 juta dos penggalak sudah diberikan dan 12.3 juta dos disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta dan Penjagaan Kesihatan Pertubuhan bukan Kerajaan di bawah ProtectHealth. – 15 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen