WARGA emas 60 tahun ke atas dengan komorbiditi kini boleh mengambil suntikan penggalak Covid-19 kedua, kata Khairy Jamaluddin hari ini.
Menteri Kesihatan berkata suntikan penggalak kedua untuk golongan ini tidak akan diwajibkan tetapi akan menjadi pilihan.
“Keputusan ini dibuat selepas Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) menyemak kajian saintifik serta kajian kohort Malaysia yang menunjukkan individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi seperti paru-paru, jantung, buah pinggang dan penyakit hati serta diabetes berisiko tinggi mendapat simptom serius dan kematian akibat Covid-19,” kata Khairy pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Mereka dalam kategori umur ini dengan komorbiditi boleh mengambil suntikan penggalak kedua mereka sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas dos penggalak pertama. Ini tidak wajib tetapi adalah pilihan.”
“Manakala, mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan sihat, juga boleh memilih untuk ambil dos penggalak kedua mereka tetapi mereka perlu berbincang dengan pengamal perubatan terlebih dahulu. Jika pengamal perubatan menasihatkan manfaatnya mengatasi risiko, mereka juga boleh ambil dos keempat,” kata Khairy .
Tambah Khairy, individu berumur antara 12 dan 17 tahun dengan imun sederhana atau teruk kini boleh mengambil dos penggalak pertama atau suntikan Covid-19 ketiga.
Beliau berkata walaupun ini tidak akan diwajibkan, namun individu atau ibu bapa boleh berbincang dengan doktor mereka sebelum ambil suntikan penggalak tersebut. – 14 April, 2022.
MENYUSUL
Komen