TIADA tindakan undang-undang untuk penerima Sinovac yang enggan mengambil dos penggalak disebabkan tiada peruntukan mewajibkan vaksinasi Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Penerima vaksin perlu diyakinkan faedah menerima dos penggalak, tambahnya.
Bercakap kepada wartawan selepas melawat Persatuan Bulan Sabit Merah (MCRS) dan St John Ambulance Malaysia (SJM) di Kuala Lumpur semalam, Khairy berkata keberkesanan vaksin buatan China itu akan lebih jatuh mendadak selepas beberapa bulan berbanding vaksin AstraZeneca dan Pfizer.
Menyentuh isu status MySejahtera bagi mereka yang membeli sijil vaksinasi palsu, Khairy berkata mereka akan hilang status vaksinasi.
Jelasnya, sebaik sahaja siasatan polis selesai dan mengesahkan yang mereka membeli sijil vaksinasi palsu, KKM akan membatalkan status mereka yang terlibat.
Khairy turut memberi amaran yang doktor yang mengeluarkan sijil vaksinasi palsu akan dirujuk kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk tindakan tatatertib dan pembatalan lesen perubatan mereka. – 26 Mac, 2022.
Komen