Penerima vaksin, warga emas masih teragak-agak untuk terima dos penggalak


Ravin Palanisamy

Masih ramai penerima vaksin Sinovac dan warga emas berusia lebih 60 tahun ke atas masih mengelak daripada mendapatkan suntikan dos penggalak mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2022.

RAMAI penerima vaksin Sinovac dan warga emas berusia lebih 60 tahun ke atas masih mengelak daripada mendapatkan suntikan dos penggalak mereka, walaupun tarikh akhir 1 April semakin hampir yang mana mereka akan kehilangan status vaksin lengkap sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corp Sdn Bhd Dr Anas Alam Faizli.

Beliau berkata tiada tanda-tanda peningkatan dalam tempahan untuk suntikan dos penggalak walaupun sudah banyak peringatan daripada kerajaan.

Suntikan dos penggalak adalah perlu untuk kesihatan mereka sendiri dan juga untuk mengelakkan status vaksinasi mereka daripada bertukar kepada vaksinasi tidak lengkap.

“Pengumuman pertama bahawa orang ramai akan kehilangan status vaksin lengkap sepenuhnya dibuat pada 16 Disember 2021, dan peringatan dikeluarkan pada 7 Februari tahun ini.

“Pada 24 Februari, ini (untuk mendapatkan booster dan mengekalkan status vaksin sepenuhnya) dilanjutkan kepada 1 April.

“Kami melihat aliran menaik selepas pengumuman itu (tetapi) kini ia telah meruncing ke bawah,” kata Dr Anas kepada The Malaysian Insight.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 2 juta penerima vaksin Sinovac dijangka kehilangan status vaksin sepenuhnya pada 1 April.

Kementerian mengumumkan pada Disember tahun lepas bahawa mereka yang berada dalam dua kategori - semua mereka yang menerima Sinovac sebagai suntikan dos pertama dan kedua, dan warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan dua dos - mesti menerima suntikan dos penggalak untuk dianggap telah divaksin sepenuhnya.

Tarikh akhir yang diumumkan pada awalnya adalah 28 Februari tetapi kemudian dilanjutkan kepada 31 Mac.

Suntikan dos penggalak untuk penerima Sinovac disyorkan tahun lepas berikutan kemunculan varian Omicron Covid-19, serta panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selepas kajian menunjukkan kadar keberkesanan vaksin yang berkurangan terhadap Omicron.

Pada awalnya, mereka yang disuntik dengan Sinovac diminta untuk mendapatkan dos penggalak jenama yang berbeza, kerana kajian menunjukkan Sinovac kurang berkesan.

Bagaimanapun, berikutan keraguan, kerajaan memutuskan untuk membenarkan penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak Sinovac.

Minggu lalu juga, Dr Anas berkata janji temu dos penggalak kini boleh ditempah melalui Sistem Pengurusan Tempahan dalam aplikasi MySejahtera.

Ini membolehkan orang ramai memilih pusat vaksinasi (PPV) pilihan mereka serta tarikh dan masa untuk vaksinasi dos penggalak melalui aplikasi.

Apabila ditanya sama ada dos tambahan dikira sebagai dos penggalak tanpa mengira masa ia diambil malah beberapa bulan selepas tempoh selang, Dr Anas berkata ya.

“Ya, ia dikira sebagai dos penggalak. Selang itu (hanya) minimum,” katanya.

Berdasarkan laman web CovidNow kementerian, lebih 15.6 juta orang atau 66.6% daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat 28 Mac.

Ia juga menunjukkan bahawa lebih daripada 22.9 juta orang atau 97.5% daripada populasi dewasa telah diberi vaksin sepenuhnya terhadap koronavirus.

Mulai 1 April, Malaysia akan membenarkan kemasukan bebas kuarantin untuk pengembara yang telah divaksin sepenuhnya.

Mereka yang mempunyai dos utama vaksin Sinovac tetapi tanpa dos penggalak akan menjadi semakin sukar untuk menjamu selera, memasuki tempat tertentu dan mengembara sebaik sahaja mereka kehilangan status vaksin sepenuhnya.

Khairy berkata bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang menolak dos penggalak Sinovac, tetapi mereka mungkin merasa sukar untuk menikmati keistimewaan lain yang dimiliki oleh individu yang menerima dos penggalak.

Kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju bahawa penerima Sinovac mesti mendapatkan tiga dos vaksin untuk mengekalkan status vaksin lengkap sepenuhnya.

Selain itu, keistimewaan lain yang mungkin hilang oleh kumpulan ini ialah pilihan untuk menjamu selera di restoran, masuk ke premis terpilih dan melancong ke negeri lain.

Dengan Hari Raya semakin hampir, ini berpotensi menghalang sesetengah kumpulan ini daripada membuat perjalanan pulang ke ‘kampung’ untuk musim perayaan. – 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen