Bekas KPN perlu jelaskan dakwaan kartel polis, kata ahli Parlimen 


Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata hakikat bahawa beliau dan pendahulunya bercanggah antara satu sama lain secara terbuka adalah perkara yang serius.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador sepatutnya bersuara mengenai dakwaannya berhubung kewujudan kartel polis, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran.

Beliau berkata keperluan itu lebih mendesak berbanding sebelum ini kerana pengganti Abdul Hamid, Acryl Sani Abdullah Sani menafikannya.

“Kenyataan KPN membimbangkan. Hakikat bahawa beliau dan pendahulunya bercanggah antara satu sama lain secara terbuka adalah perkara yang serius.

“Ini tidak boleh disembunyikan. Ia mesti disiasat dengan betul. Inilah sebabnya Hamid tidak boleh berdiam diri selepas penafian oleh KPN.

“Isu itu telah menjadi kepentingan awam dan rakyat Malaysia perlu tahu sama ada terdapat kebenaran dalam dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat, Acryl Sani sekali lagi menafikan kewujudan kartel dalam pasukan atau sebarang campur tangan luar dalam menentukan kenaikan pangkat dalam pasukan.

Bekas menteri sumber manusia itu berkata beliau telah membuat laporan polis tahun lepas berikutan dakwaan Hamid tetapi sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai hasil siasatan.

“Di sinilah masalah bermula - polis menyiasat diri mereka sendiri. Ini menunjukkan keperluan yang jelas untuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang telah lama dicadangkan.

“Ini boleh memainkan peranan penting dalam menangani kebimbangan ini dan meminta polis bertanggungjawab atas sebarang salah laku,” katanya dalam kenyataan itu.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang kemudiannya ditugaskan untuk menyiasat tuntutan itu berkata ia tidak dapat menentukan sama ada dakwaan itu benar.

“Berdasarkan keterangan saksi dan dokumen yang diperoleh EAIC, kami tidak dapat mengesahkan kewujudan kartel dalam pasukan polis seperti yang didakwa Hamid,” kata Pengerusi EAIC Sidek Hassan dalam satu kenyataan pada Februari.

“Siasatan kami mendapati ada asas (dakwaan) bahawa terdapat pegawai polis terlibat dalam sindiket jenayah, dengan siasatan dijalankan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pegawai tersebut.” – 3 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen