EAIC tidak dapat sahkan dakwaan kartel polis oleh bekas KPN, kata pengerusi


Noel Achariam

Bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendakwa wujud 'kartel' dalam pasukan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2022.

SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dapat mengesahkan dakwaan mengenai kartel ‘polis jahat’ dalam pasukan polis seperti yang didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Pengerusi EAIC Sidek Hassan berkata, berdasarkan keterangan saksi dan dokumen yang diperoleh, EAIC tidak dapat mengesahkan kewujudan kartel seperti yang didakwa Hamid.

“Siasatan EAIC mendapati ada asas bahawa terdapat pegawai polis terbabit dalam kegiatan sindiket jenayah yang mana siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis terhadap pegawai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, EAIC menyerahkan penemuan dan keputusannya kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Zuki Ali.

Tahun lalu, Hamid mendedahkan kewujudan komplot itu, sambil menambah anggotanya tidak mahu beliau terus berkhidmat sebagai ketua polis negara.

Pendedahannya itu juga menyebabkan perbalahan antara beliau dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang menyatakan beliau tidak menyedari perkara itu.

Pada 31 Mei, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, EAIC akan menyiasat dakwaan rangkaian ‘kartel’ dalam pasukan polis.

Acryl Sani, yang mengambil alih jawatan tertinggi polis daripada Hamid berkata, pasukan itu menulis surat kepada EAIC untuk memulakan siasatan.

Sidek bagaimanapun berkata, dakwaan Hamid pegawai itu mampu mengatur jawatan dalam pasukan untuk mengawal pegawai mereka bagi kepentingan peribadi tidak dapat disahkan.

Ini kerana katanya, bukti yang diperoleh EAIC menunjukkan pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran yang diamalkan oleh polis dan suruhanjaya polis membabitkan proses teliti dan mempunyai beberapa peringkat yang sukar ditembusi dan campur tangan orang luar.

“KPN adalah anggota tetap suruhanjaya polis dan sebarang cadangan pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan polis mesti mendapat kelulusan KPN.

“Dan kedudukan Hamid sebagai KPN tidak boleh dicabar kerana pelantikan KPN adalah berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri.”

Pada April lalu, Hamzah menyangkal dakwaan beliau campur tangan dalam proses pertukaran pegawai kanan polis baru-baru ini seperti yang diarahkan oleh Hamid.

Hamzah berkata, keputusan mengenai pertukaran dilakukan oleh suruhanjaya polis, yang mana beliau adalah pengerusinya, sambil menambah terdapat kekeliruan mengenai peranannya dalam perkara itu.

“Saya minta maaf kalau orang cakap macam ini (saya campur tangan). Saya pengerusi suruhanjaya polis dan sebarang keputusan dibuat oleh suruhanjaya,” katanya. – 22 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen