6 KPN silih berganti, anak Indira Gandhi masih gagal dikesan


Ravin Palanisamy

Kes Indira Gandhi sudah berlanjutan 13 tahun dan walaupun ada arahan mahkamah supaya polis mengesan anak perempuan dan bekas suaminya, masih tidak ada perkembangan positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2022.

SETIAP kali ketua polis negara (KPN) dilantik, M. Indira Gandhi akan nampak sinar harapan, percaya yang beliau akhirnya akan berjumpa semula dengan anak perempuannya.

KPN Acryl Sani Abdullah Sani sekarang adalah ketua ke-6 yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas kes kehilangan Prasana Diksa, dan 30 April ini genap setahun beliau dilantik sebagai pegawai tertinggi pasukan polis negara.

Tetapi sehingga kini, Acryl Sani tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkembangan terkini usaha mengesan anak perempuan Indira dan bekas suaminya K. Padmananthan yang sudah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Muhammad Riduan Abdullah.

Meluahkan kekecewaan dengan situasi semasa, Indira memberitahu The Malaysian Insight yang Acryl Sani tidak pernah menghubunginya atau Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Ghani (Ingat) Arun Dorasamy untuk berbincang mengenai kemelut yang sudah berlanjutan 13 tahun lamanya itu.

“Sehingga sekarang, KPN masih tidak berhubung dengan saya atau Arun. Dia tak pernah cuba pun berjumpa saya,” kata guru tadika itu.

“Samada KPN sekarang memang tak pedulikan kes ini atau dia memilih untuk tutup mata.”

Indira berpendapat yang usaha Acryl Sani untuk mencari anak perempuannya serupa sahaja dengan ketua polis sebelum ini.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani adalah KPN ke-6 masih tidak menghubungi Indira Gandhi atau pasukannya, Ingat, bagi membincangkan kes yang sudah lama berlanjutan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

“Saya rasa dia hanya seorang lagi KPN yang tak akan buat apa-apa yang berkesan kepada kes ini.

“Saya dah lihat lima KPN terdahulu yang tak buat apa-apa untuk cari anak perempuan saya,” katanya.

Acryl tidak mengulas mengenai kes itu dan sebaliknya meminta wartawan untuk menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan (CID) untuk perkembangan terkini.

Pengarah CID Abdul Jalil Hassan dalam taklimat ringkas berkata mereka yang terlibat dalam kes itu masih sedang dikesan, menambah yang polis akan mengeluarkan perkembangan terkini kes itu.

Prasana diambil oleh Muhammad Riduan sebelum mengislamkannya pada 2009, ketika gadis itu hanya berusia 11 bulan.

Dia juga mengislamkan tiga lagi anaknya tanpa pengetahuan dan persetujuan Indira.

Prasana Diksa hanya berusia 11 bulan ketika dilarikan dan diislamkan bapanya tanpa pengetahuan ibunya, mencetuskan kes penukaran agama anak tanpa kebenaran yang menggemparkan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman penting untuk membatalkan pengislaman tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapa anak-anak Indira- Prasana dan dua lagi beradiknya.

Mahkamah mengekalkan keputusan membatalkan penukaran agama dibuat oleh hanya salah seorang ibu atau bapa dan mengesahkan hak penjagaan diberikan kepada ibu mereka, Indira.

Indira kini masih menunggu polis untuk mengesan Riduan dan Prasana dipulangkan semula kepadanya, seperti arahan mahkamah.

Riduan adalah orang buruan kerana melanggar arahan Mahkamah Tinggi Perak pada 2014 supaya memulangkan Prasana, menyebabkan writ dikeluarkan mahkamah bagi memastikan KPN menggerakkan usaha menangkapnya.

Usaha Indira Gandhi mencari anak perempuannya termasuklah menubuhkan Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) masih tidak membuahkan hasil kerana tiada sokongan polis untuk melaksanakan arahan mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

“Kes saya dah berlanjutan selama 13 tahun sekarang. Saya tak tahu di mana anak perempuan saya, bagaimana rupanya… saya tak tahu apa-apa.

“Persoalan saya sekarang, apa yang polis dah buat selama ini?

“Mahkamah Persekutuan sudah mengarahkan polis mencari anak perempuan saya tetapi mereka tak jalankan tugas mereka sehingga sekarang.

“Sokongan terbesar patutnya datang daripada pasukan polis, yang sepatutnya mematuhi arahan mahkamah tetapi mereka tak (patuh),” katanya.

Tambahnya, semua KPN sebelum ini berjanji mencari anak perempuannya tetapi seorang pun tidak melunaskan janji mereka.

“Kami makin hilang percaya dengan pasukan polis.” – 16 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen