Kematian Ganapathy akan ditentukan melalui inkues


Peguam M Kulasegaran mengalu-alukan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk memulakan inkues kematian A Ganapathy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2022.

PIHAK berkuasa sudah memulakan prosiding kehakiman untuk menentukan punca kematian A Ganapathy yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis di Gombak, Selangor pada April 2021, kata peguam bagi pihak keluarganya.

Bagaimanapun setakat ini belum ada tarikh ditetapkan untuk pendengaran penuh kes, kata peguam M Kulasegaran, yang juga ahli Parlimen Ipoh Barat.

Semalam, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rasyihah Ghazali yang bertindak sebagai koroner memanggil kes bagi pengurusan, dengan Timbalan Pendakwa Raya Sean Dudley yang membantu inkues memaklumkan kemungkinan 80 saksi akan dipanggil.

“Selepas perbincangan dengan koroner, diputuskan bahawa mereka akan mengurangkan jumlah (saksi) kepada 25 selepas berbincang dengan peguam bagi pihak waris.

“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 10 Mac ini,” kata Kulasegaran.

Bagi pihak keluarga, beliau turut mengalu-alukan keputusan Pejabat Peguam Negara untuk memulakan inkues.

Ganapathy, 40, meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April 2021, sebulan selepas dirawat kerana kecederaan yang didakwa akibat dipukul semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Keluarga mendakwa mendiang dalam keadaan sihat sebelum ditahan polis.

Ibu Ganapathy, S Thanaletchumy, 60, berkata anaknya memberitahu beliau polis memukulkan dengan getah paip.

Semasa di hospital, Ganapathy disahkan mengalami masalah buah pinggang dan sebelahnya kakinya terpaksa dipotong.

Ketua polis Gombak Arifai Tarawe kemudian dilapor berkata tiada bukti Ganapathy meninggal dunia kerana dipukul semasa berada dalam tahanan pihak polis.

Sementara itu dalam kenyataannya juga Kulasegaran merakamkan kesal atas dua lagi kematian melibatkan tahanan di balai polis yang sama, yang berlaku hanya sebulan selepas kematian Ganapathy dan satu kes lagi, minggu lalu.

“Sehingga hari ini sudah ada 10 kes kematian dalam tahanan polis pada tahun ini saja.

“Angka ini membimbangkan dan langkah proaktif perlu diambil segera untuk menghentikan salah guna kuasa ini,” katanya. β€“ 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen