PASARAN modal domestik berkembang sebanyak 3.0% kepada RM3.5 trilion pada 2021, disokong oleh infrastruktur kawal selia pasaran modal yang kukuh, ekosistem pasaran yang dipelbagai dan tahap permodalan peserta pasaran yang mantap, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Jumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran modal kekal kukuh meningkat kepada RM130.9 bilion pada 2021 (2020: RM114.6 bilion) dan melebihi purata lima tahun prapandemik sebanyak RM121.4 bilion, di mana RM16.6 bilion daripada jumlah tersebut dikumpulkan melalui pasaran ekuiti, manakala RM114.3 bilion dikumpulkan melalui pasaran bon korporat.
Pasaran modal domestik dijangka kekal berdaya tahan, teratur dan terus menyokong ekonomi, didukung oleh asas makroekonomi yang kukuh, kecairan domestik yang mencukupi dan infrastruktur pasaran modal yang mantap.
“Ia akan terus dipengaruhi oleh perkembangan utama di peringkat global, di mana volatiliti berkemungkinan didorong oleh perkembangan dalam ketegangan geopolitik, berserta masa dan kadar normalisasi dasar monetari global,” kata SC dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu pengerusinya Syed Zaid Albar berkata SC akan terus berwaspada dalam mengharungi tahun mendatang kerana masih ada beberapa cabaran yang berpotensi memburukkan lagi volatiliti pasaran dan menjejaskan sentimen.
Beliau berkata prospek tahun yang lebih baik untuk pasaran modal Malaysia adalah berdasarkan pemulihan ekonomi domestik yang berkekalan, dengan pelaksanaan inisiatif Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) turut memberikan rangsangan selanjutnya kepada aktiviti pasaran.
Teknologi jadi pemacu utama
“Teknologi akan terus menjadi pemacu utama untuk pertumbuhan dan pembangunan pasaran. Di peringkat dalaman, hala tuju teknologi SC akan mempercepat penggunaan keupayaan pembelajaran mesin dan teknologi penyeliaan (SupTech) untuk meningkatkan keberkesanan fungsi kawal selia kami.
“Bagaimanapun, ketika alatan dalam talian dan penyelesaian teknologi kawal selia (Regtech) diterima oleh industri, adalah penting untuk memperakui risiko penggunaan teknologi dan ancaman siber,” katanya.
Lebih penting lagi, katanya, pasaran modal terus memainkan peranan utamanya dalam membiayai ekonomi dan menjadi pengantaraan tabungan dengan peningkatan ketara dalam aktiviti pengumpulan dana dan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi keseluruhan industri pengurusan dana.
Pada tahun sebelumnya, Syed Zaid berkata, SC bekerjasama rapat dengan Bursa Malaysia dan pihak berkepentingan utama untuk membantu perniagaan pulih dan dibina semula berikutan kesan ekonomi Covid-19.
“Pelbagai pelepasan kawal selia kepada pasaran dan syarikat tersenarai telah dilanjutkan ketika SC menyelaraskan keutamaan strategiknya bagi memastikan pasaran modal kekal adil dan teratur, dan risiko yang muncul dipantau secara berkesan.
“Kami terus mempergiat inisiatif pembangunan terutamanya dalam meningkatkan agenda kemampanan, memperkembang pasaran modal Islam (ICM) dan menggalakkan inovasi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penerimaan SC terhadap rangka kerja tadbir urus risiko yang dipertingkatkan telah menambah keberkesanan pengawasan dan pemantauan suruhanjaya tersebut terhadap potensi risiko sistemik.
Katanya rangka kerja tersebut, yang mengintegrasikan kelakuan, teknologi dan risiko siber ke dalam penilaian risiko sedia ada, membolehkan pengesanan risiko yang lebih baik dengan implikasi seluruh pasaran.
“Kami juga akan meneruskan usaha untuk memperluaskan saluran pengumpulan dana bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk memudahcarakan akses kepada pasaran bon korporat domestik. Langkah sedemikian penting untuk menyokong pemulihan dalam aktiviti ekonomi pada masa hadapan,” katanya.
Pada 2021, akses bagi PMKS kekal sebagai keutamaan dalam inisiatif pertumbuhan, di mana sejumlah RM2.7 bilion telah dikumpulkan kepada lebih 4,000 PMKS sejak pengenalan pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan platform pembiayaan rakan setara (pembiayaan P2P).
“Usaha sepanjang tahun lalu termasuklah memperluaskan jenis penerbit yang layak untuk ECF serta meningkatkan had pengumpulan dana ECF. Kit Penilaian Saringan Syariah bagi PKMS juga dikeluarkan untuk membantu mereka dalam melaksanakan pembiayaan patuh Syariah,” katanya.
Pada masa yang sama, Syed Zaid berkata pengumpulan dana melalui pasaran ekuiti dan bon konvensional menyaksikan peningkatan yang ketara kepada RM130.9 bilion pada 2021.
“SC terus memperluas akses untuk tawaran awam awal (IPO) di mana Bursa Malaysia diberi kuasa sebagai pusat sehenti bagi penyenaraian Pasaran ACE berkuat kuasa 1 Januari, 2022 dan semakan terhadap rangka kerja syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC).
“Sebagai tindak balas kepada minat pelabur yang semakin meningkat terhadap produk alternatif dan pelbagai, SC meluaskan kategori pelabur sofistikated untuk menambah senarai pelaburan yang dibenarkan untuk industri unit amanah bernilai RM526.9 bilion,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan kewangan, Syed Zaid berkata SC akan bekerjasama rapat dengan industri untuk meningkatkan kepelbagaian produk pelaburan dan persaraan, di mana penyampaian dan jangkauan program pendidikan kewangan dan mendekati pelabur akan diperluaskan di luar Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama.
“‘Agen Bijak Labur Desa’ dan ‘Klinik Digital untuk Bandar B40’ anjuran SC akan menyasarkan segmen penduduk rentan, terutamanya masyarakat luar bandar, warga emas dan miskin bandar, untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan tentang risiko pelaburan dan peluang serta kaedah untuk mengenal pasti skim penipuan,” katanya.
Memacu pelaksanaan keutamaan strategik tadbir urus korporat 3 tahun
Pada tahun ini, Syed Zaid berkata sumber juga akan diperluaskan untuk memacu pelaksanaan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat (CG) tiga tahun SC.
Ini, katanya, termasuk kerjasama rapat dengan kerajaan dan sektor swasta untuk memacu kepelbagaian dalam lembaga pengarah, mempertingkatkan penzahiran mengenai kemampanan dan meneruskan program kami dengan institusi pengajian tinggi untuk menerapkan amalan CG yang baik dalam kalangan belia.
“Saya percaya persekitaran CG akan diperkukuhkan dengan pelancaran pelbagai inisiatif tadbir urus korporat Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH) untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” katanya.
Suruhanjaya tersebut juga, katanya, akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menyokong industri dalam usaha mereka untuk mengguna pakai pertimbangan dan penzahiran berhubung kemampanan termasuk rangka kerja Taksonomi pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dan nota panduan tentang risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk pengurus dana.
Menurutnya, dengan bermulanya pembinaan semula perniagaan dan pasaran modal, pencapaian sasaran pemulihan adalah bergantung kepada usaha kolektif, komitmen dan kerjasama semua.
“Kerjasama dan libat urus bersama pengawal selia dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain di dalam dan di luar Malaysia adalah sama penting dalam memastikan SC melaksanakan tanggungjawab kawal selianya dengan berkesan untuk mengekalkan integriti pasaran modal,” katanya. – Bernama, 28 Mac, 2022.
Komen