APLIKASI Repotlah yang dibangunkan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan aduan akan memasukkan ciri baharu untuk menghalang tabiat merokok di kedai makan, kata pengasasnya.
Pengasas RepotLah Keasavan Hari Krishnan berkata ini adalah salah satu daripada maklum balas yang diterima mereka selepas menjalankan ujian perintis terhadap aplikasi itu sejak Januari.
Aplikasi yang dibangunkan itu membolehkan penduduk menyalurkan aduan melalui platform tersebut terus kepada wakil rakyat mereka akan dilancarkan dengan satu set kemas kini baharu pertengahan April ini di seluruh negara.
Ia antara lain membolehkan pengguna melaporkan jalan berlubang atau kerosakan lampu isyarat dan memuat naik klip kamera pemuka pemandu yang tidak beretika di kawasan mereka.
Aduan ini kemudiannya akan disalurkan kepada wakil rakyat bagi membolehkan mereka mengambil tindakan segera.
Keasavan berkata mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk membendung masalah merokok di kedai makan.
“Tujuan kemas kini ini dimasukkan adalah kerana orang ramai pada umumnya tidak suka orang lain merokok di kedai makan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada Februari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan dilaporkan melakukan serbuan terhadap 262 premis di sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Alor dan Bangsar.
Dalam serbuan itu, lebih 50 notis amaran dikeluarkan dengan kompaun berjumlah lebih RM10,000.
Menurut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda hingga RM10,000 dan penjara dua tahun.
Pemilik perniagaan yang gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok boleh didenda hingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.
Keasavan berkata langkah memasukkan ciri tersebut bukan untuk menghukum perokok tetapi bertujuan mendidik mereka mengenai kawasan yang dibenarkan merokok.
“Kami berharap aplikasi ini dapat membantu menyelesaikan beberapa isu merokok di kedai makan. Walaupun tiada papan tanda larangan merokok, sesetengah orang masih cenderung melakukannya,” katanya.
“Kebanyakan aduan yang kami terima adalah melalui mulut ke mulut dan maklum balas umum.”
Beliau berkata apa yang pengguna perlu lakukan ialah mengambil foto, kemudian aplikasi akan menandakan semua lokasi laporan di peta Google dan Waze. Ini memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti kawasan berkenaan.
“Kami kemudiannya akan menapis aduan dan menghantarnya kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Repotlah juga menghormati privasi penggunanya. Terdapat ciri untuk pengguna menyalurkan keluhan mereka tanpa nama.”
Bulan lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada perokok yang masih merokok di kedai makan, kerana pihak berkuasa telah meningkatkan penguatkuasaan di kawasan awam bagi memastikan pematuhan sepenuhnya.
Beliau berkata ini menjadi keperluan kerana perokok masih melanggar undang-undang walaupun kedai makan sudah diwartakan sebagai zon larangan merokok.
Khairy juga berkata undang-undang baharu akan diperkenalkan untuk melarang aktiviti merokok dan memiliki produk tembakau, termasuk vape terhadap individu yang lahir selepas 2005. Ia sebagai langkah terakhir membendung generasi merokok di negara ini. – 27 Mac, 2022.
Komen