Pahang paling tinggi ingkar larangan merokok


Mohd Farhan Darwis

5,752 perokok dewasa dikenakan notis kesalahan kerana merokok di kawasan larangan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2020.

PAHANG mencatatkan jumlah notis kesalahan ingkar larangan merokok tertinggi dengan 1,103 notis dikeluarkan, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau yang juga ahli Parlimen Tenggara berkata, ini diikuti dengan Selangor yang mencatatkan 783 notis, Negeri Sembilan (772), Johor (768), dan Perak (612).

Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan pengeluaran notis terendah iaitu sebanyak 33 notis.

“Bagi tempoh 1 Januari 2020 sehingga 28 Jun 2020 (Minggu Epid 24), sebanyak 122,032 premis makanan diperiksa.

“Sejumlah 7,469 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan anggaran kompaun bernilai RM1.76 juta,” kata Dr Adham.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Seramai 5,752 perokok dewasa dikenakan notis kesalahan kerana merokok di kawasan larangan.

Notis itu katanya turut dikeluarkan kepada 526 orang belum dewasa iaitu berumur 18 tahun dan ke bawah kerana kesalahan merokok.

“Sebanyak 933 notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal memaparkan tanda larangan merokok.

“Manakala 263 lagi dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal memastikan tiada orang yang merokok di premis masing-masing,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewartakan sebanyak 23 kawasan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1) dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Bagi tahun 2020, penguatkuasaan larangan merokok memberikan tumpuan kepada Peraturan 11(1)(d) larangan merokok di tempat makan memandangkan tempoh penguatkuasaan pendidikan yang bermula dari tarikh peraturan ini dikuatkuasakan pada Januari 2019 yang telah berakhir pada Disember 2019. – 14 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen