Pakar perubatan, NGO kecewa larangan merokok di Parlimen lemah


Persatuan pakar perubatan, badan profesional dan NGO selar kelemahan KKM menguatkuasa larangan merokok dan mengguna rokok elektronik di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2020.

PERSATUAN pakar perubatan, badan profesional dan NGO menuntut kerajaan bertindak tegas menguatkuasa larangan anti rokok di Parlimen dan zon lain yang sudah diwarta sebagai kawasan larangan.

Badan itu kecewa kerana kelemahan pada waktu ini menyebabkan terdapat menteri yang berani merokok di Dewan Rakyat semasa persidangan berlangsung.

Ia merujuk kepada perbuatan menghisap vape dilakukan Menteri Luar Hishammuddin Hussein pada Khamis yang dirakam oleh kamera dan tular di media sosial.

Dalam video itu Hishammuddin dilihat menghisap vape di sebalik topeng muka yang dipakainya ketika duduk di belakang Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang sedang bercakap.

Asap rokok elektronik itu dilihat keluar daripada topeng muka ahli Parlimen Umno berkenaan.

Mengulas perbuatan itu, badan profesional dan NGO ini melihat perbuatan tersebut berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan kementerian.

“Aktiviti ini berlaku sejak sidang dewan yang bermula Julai lalu tanpa penguatkuasaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ia menjadi lebih ketara berikutan tularnya satu video yang menunjukkan seorang ahli Parlimen yang juga merupakan menteri menghisap rokok elektronik atau vape semasa sesi sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung.”

Ia ditegaskan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan 25 badan profesional serta NGO.

Mereka menuntut kementerian memandang berat kes itu kerana bangunan Parlimen diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

“Parlimen juga merupakan simbol kedaulatan negara Malaysia dan ia adalah tempat di mana undang-undang digubal.

“Sebagai wakil yang telah diundi ke sini, mereka sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik kepada rakyat,” kenyataan itu dipetik.

Parlimen pada bulan lalu diberitahu, sejumlah 7,469 notis kesalahan dikeluarkan dengan kompaun dianggarkan bernilai RM1.76 juta bagi kesalahan merokok di tempat larangan.

Hishammuddin memohon maaf ekoran kritikan meluas yang timbul daripada perbuatannya itu.

Berikut senarai 25 lagi badan profesional dan NGO yang menuntut kes itu dipandang berat:

  • Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
  • Akademi Farmasi Malaysia
  • Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
  • Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau & Kesihatan (MyWATCH)
  • Delegation of Nurses
  • NCD Consultant Chapter
  • Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam
  • Yayasan Atfal Jannah
  • The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)
  • Medical Mythbusters Malaysia (M3)
  • Malaysian Association for Adolescent Health (MAAH)
  • Persatuan Alumni Perubatan Universiti Malaya
  • Asthma Malaysia
  • Malaysian Thoracic Society (MTS)
  • Pertubuhan Ayah Jangan Merokok
  • Pertubuhan Green Lung Malaysia
  • Public Health Malaysia (PHM)
  • Johor Bebas Asap Rokok (JBAR)
  • Persatuan Pendidikan Dan Penyelidikan Untuk Pengguna-Pengguna Pahang (ERA Pahang)
  • Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR)
  • Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan
  • Kelab Projek Milenium : Pelajar Ini Nekad Tidak Akan meRokok (Kelab PM-PINTAR)
  • Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
  • Persatuan Suara Konsumer Sarawak (Consumer Voice Association of Sarawak)
  • Consumers Affair & Protection Society of Sabah (CAPS) – 9 Ogos, 2020.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen