WARGA Switzerland turun mengundi pada Ahad bagi memutuskan sama ada akan mengharamkan hampir semua iklan produk tembakau selain larangan menyeluruh terhadap semua ujian haiwan.
Pengundian mengenai topik tersebut dan topik lain akan bermula pukul 10.00 pagi sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi langsung Switzerland, walaupun kebanyakan orang mengundi terlebih dahulu melalui undi pos.
Tinjauan baru-baru ini menunjukkan majoriti besar pengundi memihak kepada inisiatif itu, yang pada praktiknya akan mengharamkan semua pengiklanan tembakau dengan berkesan.
Switzerland jauh ketinggalan di belakang kebanyakan negara kaya dalam menyekat pengiklanan tembakau - situasi yang dipersalahkan secara meluas atas lobi besar-besaran oleh beberapa syarikat tembakau dunia yang beribu pejabat di negara itu.
Ketika ini, kebanyakan iklan tembakau kekal masih dibenarkan di peringkat kebangsaan, kecuali di televisyen dan radio, atau iklan yang khusus menyasarkan golongan bawah umur.
Walaupun beberapa wilayah Switzerland telah memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat dan ketika undang-undang kebangsaan baharu belum selesai, jurukempen menegaskan sekatan yang lebih ketat diperlukan untuk melindungi golongan muda daripada terjerumus ke dalam ketagihan tembakau.
Di bawah sistem demokrasi langsung Switzerland, pihak yang berkempen mengumpulkan tandatangan yang mencukupi untuk mengadakan undian popular atas inisiatif mereka bagi mengharamkan pengiklanan produk tembakau di mana-mana sahaja yang boleh dilihat oleh golongan bawah umur. – AFP, 13 Februari, 2022.
Komen