ITALI semalam mengumumkan ia akan mengenakan cukai kepada keuntungan tambahan dibuat syarikat bekalan tenaga ketika peningkatan mendadak harga berlaku bagi membantu keluarga dan perniagaan yang bergelut dengan isu itu.
“Biar kita kenakan cukai kepada keuntungan luar biasa dibuat pengeluar disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan menyebarkan duit itu kepada perniagaan dan keluarga yang berdepan kesukaran,” kata Perdana Menteri Mario Draghi kepada wartawan.
Menteri Ekonomi dan Kewangan Daniele Franco memberitahu yang cukai 10% itu akan dikenakan ke atas keuntungan tambahan yang dibuat, walaupun butiran masih belum jelas.
Sumber kerajaan memberitahu AFP yang ia akan membandingkan keuntungan tambahan dibuat sejak enam bulan lepas dengan keuntungan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Wang itu akan membantu membiayai pakej 4.4 juta euro bagi mengurangkan kesukaran kerana harga bekalan tenaga yang tinggi, kata Draghi.
16 juta euro sudah dibelanjakan untuk pakej itu sejak beberapa bulan lepas.
Pakej itu akan dibiayai oleh perolehan cukai tambahan dijana oleh peningkatan harga bekalan tenaga dan tidak memerlukan peminjaman tambahan, kata sumber kepada AFP.
Negara Eropah sedang berusaha merangka dasar baharu bagi mengurangkan kes peningkatan harga tenaga yang meningkat mendadak disebabkan pencerobohan Rusia di Ukraine.
Antara langkah diambil Itali adalah memotong duti petrol bagi mengurangkan harga minyak sebanyak 25 sen seliter selama sebulan.
Kerajaan juga akan menangguhkan bil tenaga musim panas untuk 1.2 juta isi rumah bernilai 5.2 juta euro. – AFP, 19 Mac, 2022.
Komen