Minyak mentah Brent cecah AS$140 setong


Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Mei mencecah AS$139.13 sejurus selepas dagangan elektronik dibuka sekitar 2300 GMT, menuju ke arah rekod tertinggi 2008 sebelum turun sedikit sejam berikutnya. – Gambar EPA, 7 Mac, 2022.

HARGA minyak mentah Brent melonjak ke paras tertinggi AS$140 sejak 14 tahun pada Ahad ketika peniaga resah dengan kesan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Mei mencecah AS$139.13 sejurus selepas dagangan elektronik dibuka sekitar 2300 GMT, menuju ke arah rekod tertinggi 2008 sebelum turun sedikit sejam berikutnya.

Penanda aras Eropah mencecah rekod tinggi AS$147.50 setong pada Julai 2008.

Menjelang 0030 GMT, minyak mentah Brent turun lebih sedikit kepada AS$128.77 setong, 9.02 peratus lebih tinggi berbanding harga penutupnya pada Jumaat.

Harga setong minyak Brent meningkat 33 peratus sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari.

Penanda aras minyak West Texas Intermediate (WTI) New York juga melonjak pada Ahad kepada AS$130.50 setong untuk penghantaran April. Ia juga, kemudian turun sedikit dalam satu setengah jam berikutnya.

Menjelang 0030 GMT, minyak mentah WTI berada pada AS$125.15 setong, meningkat 8.18 peratus berbanding harga penutupnya pada Jumaat.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Ahad berkata Washington sedang dalam “perbincangan aktif” dengan negara-negara Eropah tentang pengharaman import minyak Rusia sebagai penalti ekonomi lanjut terhadap Moscow, walaupun tidak mengumumkan boikot secara terang-terangan.

Walaupun secara teknikal minyak masih dikecualikan daripada sekatan, pengeksport minyak Rusia sedang bergelut mencari pembeli. Shell satu-satunya syarikat yang masih membeli minyak Rusia, walaupun ia berkata akan mendermakan keuntungan kepada Ukraine.

Ditanya pada Ahad di CNN mengenai pengumuman Shell, Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba menggesa Shell dan gergasi tenaga lain memotong sumber pendapatan terbesar Moscow dan “berhenti membeli minyak Rusia.”

“Minyak dan gas Rusia berbau darah Ukraine,” katanya. – AFP, 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen