PERUNCIT bahan api persendirian terbesar di Sri Lanka menaikkan harga diesel lebih 40 peratus pada Jumaat, menambahkan lagi kesusahan rakyat biasa berikutan krisis ekonomi terburuk negara itu sejak merdeka.
22 juta penduduk negara kepulauan itu sudah pun terkial-kial akibat kekurangan bekalan yang telah melumpuhkan pengangkutan awam dan menyebabkan rakyat beratur panjang untuk beli petrol, makanan dan ubat-ubatan.
Puncanya ialah larangan import yang meluas kerana kerajaan cuba menghentikan pengaliran keluar dolar bagi membayar hutang selepas pandemik menjejaskan sektor pelancongan.
Kenaikan ketiga dalam dua bulan, Lanka IOC menaikkan harga diesel kepada 252 rupee (AS$1.00) seliter daripada 177 rupee manakala petrol oktana tinggi naik 50 rupee kepada 283 rupee (AS$1.08).
Angka rasmi menunjukkan harga diesel meningkat 78.2 peratus manakala petrol naik 43.5 peratus sejak 6 Februari lalu.
Tidak ada semakan harga tenaga segera oleh Ceylon Petroleum Corporation (CPC) yang dikendalikan kerajaan, tetapi kebanyakan pamnya telah kehabisan bahan api. Segelintir yang dibuka menyaksikan barisan panjang pada Jumaat.
Inflasi keseluruhan mencecah rekod 16.8 peratus pada Januari dengan harga makanan naik 25 peratus.
Pasar raya membuat catuan makanan ruji termasuk beras, gula dan susu tepung.
Dalam usaha untuk menarik lebih banyak kiriman wang asing daripada Sri Lanka di luar negara, bank pusat itu pada Isnin mengumumkan “fleksibiliti yang lebih besar” dalam kadar pertukaran selepas susut nilai mata wang sebanyak 15 peratus.
Sejak Isnin, rupee telah kehilangan kira-kira satu perempat daripada nilainya berbanding dolar.
Sumber rasmi berkata kenaikan harga bahan api pada Jumaat mencerminkan rupee yang lebih lemah.
Rizab mata wang asing Sri Lanka telah jatuh kepada AS$2.0 bilion menjelang akhir Februari manakala ia perlu membayar balik AS$7.0 bilion tahun ini untuk membayar hutang luar negerinya sebanyak AS$51 bilion.
Agensi penarafan antarabangsa telah menurunkan taraf negara kerana bimbang ia mungkin tidak dapat membayar balik hutangnya, tetapi Colombo menegaskan ia akan menunaikan kewajipannya. – AFP, 11 Mac, 2022.
Komen