Lawatan kerja Saravanan ke Geneva tumpu isu tangani buruh paksa


Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata isu buruh paksa antara agenda dalam lawatannya ke Geneva, Switzerland. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

MENDEPOSIT ratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung buruh paksa dan penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah Perikatan 8.7 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), merupakan agenda dalam lawatan Menteri Sumber Manusia M Saravanan ke Geneva, Switzerland tidak lama lagi.

Menerusi kenyataan media hari ini, Saravanan berkata kedua-dua agenda tersebut akan memberikan impak positif dari segi kedudukan negara dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang, serta menjadi platform bagi melindungi hak asasi manusia.

“Sebagai persediaan, Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan pelbagai sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan, selain penglibatan pakar daripada ILO sebelum meratifikasi Protokol 29,” katanya.

Beliau berkata susulan daripada agenda berkenaan, Malaysia bakal menerima bantuan teknikal dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ILO untuk program kesedaran serta pembangunan kapasiti, selain mendapat akses kepada amalan baik dan perkongsian pengalaman dengan negara Pathfinder lain.

Saravanan pada 26 November lepas memaklumkan Malaysia bersetuju meratifikasi Protokol 29 ILO yang merupakan protokol dalam Konvensyen Buruh Paksa serta mengendors penyertaan Malaysia sebagai negara Pathfinder di bawah Perikatan 8.7 SDG.

Menurutnya protokol berkenaan adalah pelengkap kepada Konvensyen 29 mengenai buruh paksa yang telah diratifikasi Malaysia pada 1957.

Beliau berkata Protokol 29 menggariskan tanggungjawab negara untuk mengambil langkah efektif dari segi perundangan, polisi dan program dalam menangani isu buruh paksa, sekali gus menjadi panduan kepada kerajaan untuk mencegah, melindungi serta mengawal gelaja tersebut selaras dengan piawaian perburuhan antarabangsa.

Saravanan berkata beliau juga akan mengadakan lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia pada April ini untuk bertemu rakan sejawatannya Ida Fauziyah bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan dan penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI). – Bernama, 15 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen