Top Glove dapat kebenaran eksport sarung tangan ke AS


Dalam satu kenyataan hari ini, Top Glove berkata sarung tangan getah pakai buang keluarannya mendapat kebenaran untuk dieksport ke AS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2021.

TOP Glove Malaysia diberi pelepasan untuk menyambung semula eksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) susulan pengubahsuaian dapatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS berhubung tuduhan penggunaan buruh paksa ke atas pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Top Glove berkata sarung tangan getah pakai buang keluarannya akan dibenarkan memasuki pelabuhan AS berkuatkuasa hari ini.

Sementara itu, CBP dalam makluman di laman webnya berkata berdasarkan maklumat terkini, jabatan itu mendapati Top Glove tidak menyalahi undang-undang berkaitan penyalahgunaan tenaga kerja.

Siasatan awal CBP pada Mac lalu mendapati Top Glove menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produknya. Susulan itu, CBP memaklumkan bahawa pihaknya akan merampas semua produk sarung tangan getah pakai buang yang dihasilkan syarikat itu di pelabuhannya.

Dapatan itu selepas CBP pada 15 Julai tahun lalu mengeluarkan perintah tahan pelepasan ke atas sarung tangan pakai buang yang didakwa dibuat oleh buruh paksa oleh Top Glove.

April lalu, Top Glove berkata pihaknya akan terus memberi kerjasama secara aktif kepada CBP untuk menangani dan memperbetul sepenuhnya isu yang dikenal pasti itu dengan serta-merta. – 10 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen