AMERIKA Syarikat (AS) melarang import daripada pengeluar sarung tangan getah Malaysia kerana dakwaan berlakunya buruh paksa.
Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) mengumumkan larangan terhadap sarung tangan Supermax pada Rabu, selepas siasatan menemui petunjuk berlakunya buruh paksa dalam operasi pembuatan syarikat itu.
“CBP mempunyai banyak bukti yang menunjukkan Supermax ... dan anak syarikatnya menghasilkan sarung tangan yang melanggar undang-undang perdagangan AS,” kata pegawai agensi itu AnnMarie R. Highsmith.
“Sehingga Supermax dan anak syarikatnya dapat membuktikan proses pembuatannya bebas daripada unsur buruk paksa, barangan mereka tidak diterima di sini.”
Agensi itu tidak memberikan perincian mengenai tuduhan buruh paksa pekerja di syarikat itu, yang mengeksport ke lebih 160 negara dan dapat menghasilkan hingga 24 bilion sarung tangan setahun.
Tetapi aktivis hak pendatang Andy Hall, yang menyiasat Supermax, berkata antara aduan pekerja adalah tidak boleh meninggalkan kawasan kilang, kediaman yang sempit dan pemotongan gaji secara tidak sah.
Hall berkata beliau berharap “tindakan penguatkuasaan perdagangan terhadap syarikat ini akan membawa kepada perubahan segera kepada keadaan hidup dan pekerjaan yang menganiaya dihadapi pekerja syarikat di Malaysia”.
Supermax tidak menjawab permintaan untuk sebarang komen.
Sahamnya turun lebih 10% dalam perdagangan petang di bursa saham Kuala Lumpur.
Pembuat sarung tangan Malaysia, yang perniagaannya berkembang pesat semasa wabak koronavirus, biasanya menggunakan pekerja dari Asia Selatan.
AS melarang import dari pengeluar sarung tangan lateks terkemuka di dunia, Top Glove Malaysia, awal tahun ini kerana dakwaan buruh paksa, tetapi larangan itu ditarik balik pada September.
Dua syarikat minyak sawit, Sime Darby Plantation dan FGV Holdings, juga dilarang dengan larangan import AS pada 2020 kerana kebimbangan yang serupa. – AFP, 21 Oktober, 2021.
Komen