PERLEMBAGAAN perlu dipinda supaya dapat membenarkan Orang Asli mendapat hak pemilikan tanah, kata ahli Parlimen Cameron Highlands.
Ramli Mohd Nor berkata komuniti Orang Asli di seluruh negara terpaksa berhadapan pelbagai isu berkait tanah yang mereka tinggal sehingga menyebabkan kesusahan apabila kawasan itu dituntut untuk pembangunan.
“Saya rasa pindaan itu boleh dibuat dengan semua ahli Parlimen di dewan ini. Mari kita pinda dan letak Orang Asli dalam senarai serentak. Ini akan dapat selesaikan isu tanah mereka.
“Cara lain adalah dengan membuat pindaan kepada kanun tanah negara dengan mengiktiraf kewujudan tanah pusaka Orang Asli,” katanya semasa perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Senarai serentak membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang mengenai perkara yang sama – dengan syarat undang-undang itu tidak bertindih atau bercanggah.
Terdapat 217,000 orang Orang Asli di Malaysia, kebanyakannya di Perak dan Pahang.
Sejak kebelakangan ini mereka menghadapi masalah dengan pihak berkuasa selepas tanah penempatan mereka telah diasingkan untuk pembangunan.
Beberapa suku yang menghadapi isu tersebut ialah suku kaum Temuan di Kuala Langat, suku kaum Semelai di Bera dan Temerloh di Pahang, masyarakat Mah Meri di Bagan Lalang dan lain-lain di seluruh negara.
Ramli berkata penyelesaian kepada isu tanah Orang Asli memerlukan pindaan kepada beberapa undang-undang utama.
“Pindaan Perlembagaan perlu dibuat bagi menyelesaikan isu tanah Orang Asli kerana kerajaan persekutuan bertanggungjawab terhadap Orang Asli.
“Tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Negeri-negeri juga boleh melaksanakan enakmen berkaitan tanah Orang Asli.
“Selain itu, Akta Orang Asli perlu dipinda dengan mengukuhkannya dari sudut pemilikan tanah.”
Ramli yang merupakan ahli Parlimen Orang Asli pertama di Malaysia tiurut bertanya kepada kementerian yang bertanggungjawab berapa banyak tanah yang telah diwartakan untuk Orang Asli di seluruh negara.
“Saya minta menteri beri penjelasan berapa banyak kampung Orang Asli telah diwartakan.
“Dan berapa banyak kampung yang masih belum diwartakan dan bilakah ia akan dibuat?
“Saya harap ia dapat dibuat dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.”
Isu lain yang dibangkitkan Ramli ialah mengenai penjagaan kesihatan untuk Orang Asli dan apakah peranan Kementerian Kesihatan dalam memastikan kebajikan Orang Asli dijaga.
“Sebelum ini (penjagaan kesihatan) di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), di mana terdapat hospital khas untuk Orang Asli.
“Dasar kerajaan kemudian meletakkannya di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan.”
Katanya Orang Asli tinggal di pinggir bandar dan jika mereka datang ke hospital mereka perlu bayar.
“Jadi, bagaimana masyarakat ini mampu. Akhirnya apa yang akan berlaku kepada orang yang sakit itu.
“Kadang-kadang mereka dapat bantuan daripada wakil rakyat dan orang ramai.”
Katanya, Jakoa dan Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama demi kesejahteraan Orang Asli.
“Mesti ada jawatankuasa untuk selaraskan dasar yang lebih baik untuk Orang Asli.” – 9 Mac, 2022.
Komen