Ahli Parlimen Jelutong dihalau keluar dewan, digantung sehari


Noel Achariam

AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama sehari kerana berulang kali mengganggu bekas perdana menteri Najib Razak semasa perbahasan Titah Diraja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2022.

AHLI Parlimen Jelutong RSN Rayer digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama sehari kerana berulang kali mengganggu bekas perdana menteri Najib Razak semasa perbahasan Titah Diraja.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor berkata beliau sudah memberi amaran secukupnya kepada ahli Parlimen DAP itu.

“Jelutong awak buang masa dewan. Saya sudah beri awak dua amaran,” katanya kepada Rayer.

Rayer ingkar untuk duduk dan Ramli menggantungnya serta mengarahkan peguam itu keluar dari dewan.

Sebelum keluar Rayer bertanya kepada Ramli kenapa beliau digantung dan berapa lama tempoh digantung.

Ramli berkata penggantungan itu adalah selama sehari dan beliau digantung kerana mengelirukan dewan.

Semasa perbahasan Najib mendakwa Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin mengetahui tentang penyusutan rizab negara.

“Beliau (Pagoh) adalah menteri kanan di Pakatan Harapan. Kemudian beliau menjadi perdana menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Rizab sekarang adalah kurang berbanding sebelum pilihan raya umum ke-14.

“Beliau (Pagoh) berada dalam dua kerajaan yang menghabiskan rizab negara,” kata Najib ketika menyentuh mengenai hutang negara semasa perbahasannya.

Rayer kemudian mencelah dan memberitahu Ramli bahawa Najib tidak boleh mengelirukan dewan dengan kenyataannya mengenai hutang negara.

“Anda (Najib) mencuri berbilion ringgit, anda tidak tahu malu. Punyalah malu. Awak curi duit rakyat,” katanya. 

Najib kemudian berkata beliau mempunyai hak untuk meneruskan perbahasannya.

Beliau berkata pembangkang tidak sepatutnya memberi alasan bahawa 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memusnahkan kewangan negara.

“Adalah tidak betul untuk mencadangkan rakyat perlu membayar hutang 1MDB.

“Rakyat tidak perlu membayar. Kerajaan boleh menggunakan RM16.4 bilion daripada Goldman Sachs untuk membayar hutang.

“Dana lain turut diterima dan semua ini terkumpul kepada RM23 bilion. Ini bukan wang rakyat yang boleh digunakan untuk membayar hutang,” katanya. – 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen