AHLI Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor mahu pihak berkuasa menjelaskan sama ada bantuan makanan disediakan kepada masyarakat Orang Asli bagi menghadapi sekatan pergerakan penuh esok.
Pemimpin Umno itu berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) perlu lebih simpati, sensitif dan mengambil berat kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Mereka juga manusia dan rakyat Malaysia. Jangan asingkan mereka tanpa bantuan makanan.
“Dengan arahan sekatan pergerakan penuh melibatkan seluruh negara. Ia akan lebuh sukar (kepada Orang Asli),” katanya dalam satu kenyataan.
Ramli merujuk kepada insiden yang berlaku ke atas masyarakat di Pos Menson dan Pos Betau di Cameroan Highlands yang tidak mendaoat bantuan makanan ketika dikenakan kuarantin bulan lalu.
“Masyarakat Orang Asli di dua kawasan ini diasingkan bagi mengelakkan penularan virus dan tidak diberikan bantuan makanan. Ini berlaku kira-kira sebulan lalu.
“Saya difahamkan ini berlaku kerajaan Jakoa pusat tidak membenarkan Jakoa negeri membuat perisytiharan darurat untuk membantu menyalurkan bekalan makanan di kedua pos berkenaan,” kata ahli Parlimen masyarakat Orang Asli itu.
Putrajaya mengumumkan sekatan pergerakan penuh bagi sektor ekonomi dan sosial di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun.
Langkah itu diambil bagi mengekang penularan Covid-19 yang melonjak sejak beberapa minggu lalu.
Ramli turut mempersoalkan pembekal bantuan manakan yang dilantik serta pegawai kerajaan yang menjalankan proses tender.
“Mengapa setiausaha agong Jakoa tidak memberi kuasa kepada pengarah negeri melaksanakannya (bantuan makanan) untuk kebajikan Orang Asli?
“Saya harap tidak berlaku salah guna kuasa dan pembaziran jutaan ringgit wang rakyat.” – 31 Mei, 2021.
Komen