Tukar agama budak bawah umur boleh didakwa jenayah, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Mahkamah Persekutuan dalam kes Indra Gandhi memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk mengislamkan anak di bawah umur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2022.

PENGISLAMAN secara unilateral tiga kanak-kanak Hindu di bawah umur boleh membawa kepada pertuduhan jenayah terhadap pihak yang berbuat demikian tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa, kata seorang pakar undang-undang.

Hakikat yang penukaran agama unilateral masih berlaku walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan ia memerlukan persetujuan kedua ibu bapa menunjukkan pengabaian secara jelas terhadap undang-undang, kata Fahri Azzat, pengerusi Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Malaysia (MCCHR).

Fahri dan bekas ahli Parlimen Umno Tawfik Ismail, mengulas kes Loh Siew Hong, berhubung tiga anaknya iaitu seorang budak lelaki berusia 10 tahun dan sepasang kembar perempuan berusia 14 tahun memeluk Islam tanpa kebenarannya.

Mereka juga berkata pihak berkuasa menunjukkan kurangnya peri kemanusiaan apabila memisahkan tiga anak daripada ibu mereka.

Bagaimanapun, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata penukaran agama tiga beranak itu adalah sah di bawah undang-undang Perlis.

Asri berkata di bawah enakmen Islam Perlis, bapa, ibu atau penjaga boleh mengislamkan anak di bawah umur.

Dalam ceramah secara langsung Facebook malam tadi, Asri berkata pada 2016, DUN Perlis meluluskan undang-undang membenarkan mereka yang ingin menurunkan agama Islam kepada anak boleh berbuat demikian dengan persetujuan sama ada bapa atau ibu.

“Ia tidak bertentangan dengan undang-undang Perlis. Negeri lain mungkin berbeza, tetapi cukup seorang ibu atau bapa sahaja di Perlis. Dan dalam kes ini, bapa kanak-kanak itu mahu anak-anaknya memeluk Islam,” kata mufti Perlis itu.

Loh yang beragama Hindu, dan anak-anaknya juga dibesarkan sebagai penganut Hindu sebelum mereka diculik oleh bekas suaminya pada 2019 ketika beliau berada di hospital.

Fahri berkata penting untuk melihat siapa yang menandatangani sijil penukaran untuk anak-anak itu memandangkan ibu bapa tidak hadir.

“Jika ada tandatangan, ia mesti pemalsuan atau palsu,” kata Fahri kepada The Malaysian Insight.

“Mereka (pihak berkuasa agama) dalam keadaan terikat. Jika ternyata dokumen tersebut dipalsukan, maka terdapat kes jenayah.

“Kita lihat siapa yang menandatanganinya. Jika orang lain (bukan ibu bapa), mereka semua dalam masalah.”

Menurut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, penukaran agama kanak-kanak harus dilakukan dengan kehadiran kedua-dua ibu bapa.

Mengikut Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 bagi negeri Perlis, seseorang itu boleh memeluk agama Islam pada usia 18 tahun, atau jika mereka di bawah umur, mesti mendapat kebenaran daripada ibu, bapa atau penjaga.

“Itu yang terbaik. Sebagai gantinya, pengesahan bertulis sokongan perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa agama.”

Asri berkata ketiga-tiga kanak-kanak itu menukar agama di jabatan agama negeri tanpa kehadiran Loh. Beliau berkata bapa kanak-kanak itu membawa mereka ke jabatan agama pada Julai 2020 untuk memeluk Islam, sambil menambah jabatan itu tidak mencari ibu mereka.

Walaupun bapa mungkin bersetuju dengan penukaran agama, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indra Gandhi memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum sijil memeluk Islam boleh dikeluarkan kepada anak-anak mereka. – 18 Februari, 2022.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen