Mahkamah arah aktivis bayar Mufti Perlis RM150,000


MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini memerintahkan aktivis T Arunakirinathan membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan fitnah melalui hantaran Facebook tiga tahun lepas.  

Hakim Mahkamah Sesyen Ishak Bakri membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan Asri sebagai plaintif dalam saman fitnah yang difailkannya terhadap Arunakirinathan selaku defendan.

Beliau juga mengarahkan Arunakirinathan untuk membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Asri serta faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan mempertimbangkan hujah-hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati plaintif telah berjaya membuktikan kes plaintif terhadap defendan,” kata hakim itu.

Media memperoleh maklumat keputusan itu menerusi laman web sistem e-filing mahkamah dan juga peguam plaintif Meor Amir Meor Omar Baki. Arunakirinathan diwakili peguam S Dyna Sri.

Mahkamah membuat keputusan itu melalui e-mel yang disampaikan kepada peguam plaintif dan defendan.  

Ishak dalam penghakimannya turut mengarahkan Arunakirinathan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Asri secara bertulis dalam berita akhbar utama pilihan mufti itu.

Beliau juga memerintah permohonan maaf yang sama dibuat defendan melalui dua akaun Facebook defendan dan menarik balik kedua-dua hantaran fitnah tersebut termasuk mana-mana hantaran yang memetik plaintif secara langsung atau tidak langsung.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan suatu injunksi kekal menghalang Arunakirinathan daripada bercakap, menerbitkan, menghasut bagi tujuan penerbitan atau menyebabkan penerbitan sebarang hantaran yang memfitnah dan merujuk kepada Asri sama ada secara lisan atau bertulis.

Pada  25 Februari 2019, Asri memfailkan saman itu berdasarkan hantaran yang dibuat oleh Arunakirinathan dalam akaun Facebook Arunakiri Nathan pada 26 dan 27 November 2018 yang antara lain mendakwa bahawa Asri ingin menghancurkan kuil-kuil dan terlibat dalam penculikan seorang pastor. – Bernama, 28 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen